KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan
penangguhan mesyuarat khas Dewan Rakyat sebagai “titik hitam” dalam sejarah perundangan negara.
Beliau berkata ini kerana “kalau perundangan sesebuah negara tidak berfungsi, tidak mungkin kerajaan boleh berjalan seperti biasa”.
“Tuanku sudah bertitah menyatakan persidangan Parlimen harus berlangsung seperti biasa. Speaker sudah janji bahawa soalan-soalan yang kita bangkitkan akan dijawab pada hari Isnin.
“Tapi malangnya, hari Isnin persidangan dibatalkan, batal pasal apa? Pasal Covid. Pasal didapati ahli Parlimen terjangkit, kita sedar dan tahu ada ahli parlimen, kita tidak nafikan terjangkit.
“Yang terjangkit ahli parlimen itu tidak hadir sejak kita adakan persidangan. Misalnya presiden UMNO…mereka tidak hadir dalam persidangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas di Dataran Merdeka hari ini, sebelum menyertai perarakan anggota Parlimen blok pembangkang menuju ke bangunan Parlimen.
Shafie berkata sekiranya terdapat pegawai-pegawai Parlimen yang dijangkiti Covid-19, mereka tidak perlu hadir ke sidang khas itu.
“Daripada segi perundangan, mereka tidak terikat untuk hadir ke Parlimen, tetapi sebagai ahli Parlimen, kami mempunyai hak untuk berada di Parlimen,” katanya.
Menurutnya anggota-anggota Parlimen tidak sepatutnya dihalang untuk memasuki bangunan Parlimen bagi membincangkan ketetapan mengenai titah Agong.
“Ini dah pun jelas.. keduanya undang-undang negara kita tidak berfungsi seperti apa yang termaktub dalam perlembagaan.. ketiganya kenapa tidak ada undi?
“Jelas sekali, Rundang-undang darurat, Rang undang-undang Ordinance perlu dibahas dan diluluskan di parlimen.
“Baru sahaja rang undang-undang baharu, darurat di Sarawak dilanjutkan sehingga pilihan raya (awal tahun depan).
“Bulan Ogos persidangan bila diadakan? Ini juga perlu dibincang dan diluluskan di Parlimem
“Apa yang kita bangkitkan perundangan dan hak kita selaku penggubal undang-undang di negara ini,” kata beliau.
Shafie berkata pengasingan kuasa “mesti ada, eksekutif tidak boleh melampaui Parlimen”.
“Parlimen yang menggubal undang-undang di negara ini. Eksekutif pula melaksanakan undang-undang,” katanya.