PENAMPANG: Polis di sini meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lagi tahanan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN), Penampang awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris, dalam satu kenyataan hari ini, berkata tahanan itu dikenali sebagai Mohd Rahman Basir berumur 24 tahun.
Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tahanan yang masih bolos tersebut dapat menghubungi segera bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Mohd Haris berkata pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak betindak melindungi tahanan tersebut kerana ia boleh menyebarkan dan menjangkiti virus Covid-19 kepada komuniti.
Semalam, tiga daripada empat tahanan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Penampang itu berjaya diberkas.
Ketiga-tiga tahanan yang lengkap berpakaian kemaja-T dan berseluar itu ditangkap di Lorong Wijaya 1, Taman Wijaya, Menggatal, Kota Kinabalu pada jam 5.45 petang semalam.