Tahap literasi dan sikap individu merupakan punca utama peningkatan kes Covid19.

Adakalanya sukar bagi kita menyembunyikan perasaan hiba dan kecewa dengan jumlah kes positif Covid19 yang dilaporkan setiap hari.

Advertisements

Mengapa masih ada yang membahayakan diri mereka dan orang-orang sekeliling mereka terdedah kepada risiko dijangkiti pandemik Covid19? 

Dalam konteks norma baharu seumpama sudah menjadi kebiasaan memakai pelitup muka, mengambil suhu badan, imbas kod QR MySejahtera atau isi nama dan no telefon serta melakukan pensanitasi tangan sebelum memasuki mana-mana premis.  

Jadi di manakah salah dan silapnya setelah semua prosedur operasi standard (SOP) ini telah dipatuhi? 

Tiada yang tidak sayang nyawa tetapi tahap pengetahuan dan sikap enteng sesetengah individu dipercayai menjadi penyumbang kepada peningkatan kes positif Covid19 yang mencecah angka ribu setiap hari. 

Pelitup muka itu dipakai untuk menutup mulut dan hidung sepenuhnya sepanjang masa di luar dan bukannya hanya ketika nampak orang atau disangkut pada dagu atau di bawah hidung sahaja.

Setiap individu yang dikehendaki menjalani kuarantin kendiri atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) haruslah mematuhi SOP berkenaan kerana keputusan ujian saringan (swap) awal yang negatif tidak bermaksud tidak terdedah kepada kontak rapat dengan pesakit Covid19 sewaktu dalam perjalanan.

Perlu sedar dan tahu bahawa tempoh inkubasi Covid19 adalah dijangkakan dalam tempoh 14 hari. 

Sambil itu kita juga perlu sentiasa berwaspada dengan kemugkinan individu tidak bergejala atau asimptomatik (asymptomatic) yang boleh jadi terdiri daripada ahli keluarga kita, sahabat karib mahupun individu tidak dikenali di tempat-tempat awam seperti pasaraya yang dilawati.   

Sistem imunisasi badan setiap individu berbeza dipengaruhi oleh gaya hidup masing-masing tetapi kita perlu memikirkan ahli keluarga atau rakan yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi maut akibat komplikasi jangkitan Covid19 seperti warga emas, wanita mengandung dan pesakit kronik.

Yang aktif bersukan sudah pastinya mempunyai daya rintangan terhadap penyakit yang lebih tinggi. 

Sikap sambil lewa sesetengah individu yang beranggapan hanya menghadiri perjumpaan kecil apatah lagi ianya merupakan ahli keluarga dan sahabat karib yang rapat sebenarnyalah yang menjadi penyumbang kepada penularan jangkitan Covid19.

Begitupun, kita tidak dapat menafikan terdapat juga segelintir yang terpaksa keluar ‘cari makan’ bekerja untuk mencari nafkah demi sesuap nasi sebab ada bini dan anak-anak di rumah perlu makan. 

Bantuan bakul makanan serta sebarang bentuk kewangan sudah pastinya amat bermakna untuk survival mereka tetapi ia masih amat terbatas sebenarnya. 

Golongan yang menghadapi masalah kewangan sudah pastinya akan beranggapan membelanjakan duit untuk menjalani ujian saringan merupakan suatu beban kepada mereka. 

Keterbatasan maklumat berkenaan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh kerajaan menjadi satu lagi punca tidak pergi mendapatkan bantuan.

Sumber kewangan dan jarak lokasi menjadi pertimbangan. Ini termasuklah golongan yang mempunyai tanggapan stereotaip tidak baik terhadap perkhidmatan hospital kerajaan seperti banyak birokrasi (red tape) dan tidak efisien sebenarnya mengeruhkan keadaan.  

Mengambilkira semua aspek ini hujung-hujungnya memaksa kerajaan terpaksa mengambil pendekatan yang lebih tegas. Namun kerajaan juga harus memastikan ekonomi rakyat berjalan lancar. 

Kita sedar ramai yang sudah keletihan mental dan fizikal pada masa ini, tetapi perjuangan memerangi pandemik Covid19 ini adalah tanggungjawab kita semua bersama. #kitajagakita

Related Articles

253FansLike

Latest Articles