KOTA KINABALU: Para pemimpin Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) perlu menunjukkan “niche” atau jenama parti yang baik untuk menjadi sebuah parti peneraju rakyat akar umbi yang mengutamakan kepentingan rakyat.
Bagi merealisasikan wawasan itu, Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu perlu mencari kelainan yang lebih menjurus kepada “mesra rakyat” dan bukan mengutamakan atau dikuasai golongan elit.
Beliau berkata, kecelaruan pentadbiran kerajaan hari ini berpunca daripada pencaturan politik golongan elit politik yang sudah sekian lama berada dalam arena kepimpinan tetapi tidak lagi mendengar denyutan nadi rakyat.
“Kalau kita serius menjadikan parti kita sebagai peneraju perjuangan rakyat, ia boleh dilaksanakan tetapi parti lain pun begitu juga, mereka berjuang untuk rakyat. Justeru Upko perlu mencari kelainan yang tiada dalam parti lain.
“Upko perlu perlu seimbangkan antara perjuangan dasar-dasar parti dan perkhidmatan rakyat akar umbi, terutamanya dalam keadaan krisis pandemik Covid ketika ini, rakyat memerlukan pembelaan bukan setakat polisi dan penambahbaikan dasar-dasar kerajaan,” katanya.
Ewon berkata demikian ketika ditanya apa peranan Upko selaku peneraju perjuangan rakyat negeri Sabah dan Persekutuan semasa Webinar melalui Zoom bertajuk Peneraju Perjuangan Rakyat: Siri ke-2, pada Ahad.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, ketika ini, rakyat menghadapi pelbagai masalah termasuk kekurangan sumber pendapatan, kehilangan pekerjaan dan masalah dalam perniagaan.
“Rakyat memerlukan bantuan bakul makanan dan para pelajar pula menghadapi masalah dari segi PdPR. Ada diantara mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran secara online kerana ketiadan peralatan, tiada taliantelekomunikasi atau terpaksa berkongsi telefon bimbit atau laptop dengan adik-beradik lain atau kawan-kawan … semuanya memerlukan pembelaan kita.
“Dari segi kesihatan pula, kita boleh berkempen agar lebih ramai rakyat termasuk keluarga dan ahli-ahli parti menerima vaksin supaya kita boleh mewujudkan imuniasisi berkelompok.
“Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan dan perniagaan terjejas tetapi terpaksa membayar pinjaman juga perlu dipermudahkan dan ini semua perlukan perhatian kita,” katanya.
Beliau berkata, untuk menjadi sebuah parti peneraju rakyat, UPKO perlu melihat dahulu masalah ahli-ahlinya sebelum melihat perkara yang lebih besar, kerana ramai ahli UPKO yang memerlukan bantuan.
“Contohnya bakul makanan, semasa saya menjadi sebahagian daripada Kabinet Negeri Sabah, pada awal peruntukan pakej Bantuan Covid Sabah, kerajaan menyediakan RM20 juta peruntukan bakul makanan dan beberapa bulan kemudian peruntukan itu ditambah lagi.
“Program pengagihan bantuan bakul makanan ketika itu sangat rancak dilaksanakan oleh Pejabat-pejabat UPPM di 60 kawasan seluruh Sabah dan di kawasan Kadamaian sahaja, ada yang tiga kali menerima bantuan ketika itu, semua dapat,” katanya.
Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu berkata, kerajan negeri hari ini juga mengumumkan lebih RM30 juta untuk bantuan bakul makanan tetapi hanya yang tersenarai dalam e-kasih, kuarantin wajib dan bersasar sahaja yang diberikan.
— Sumber Nabalu News