KOTA KINABALU: BIGSABAH Sale 2026 mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila menarik seramai 101,439 pengunjung, peningkatan 26 peratus berbanding 80,615 pengunjung pada tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform pameran pengguna dan perniagaan utama di Sabah.
Program selama tiga hari yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu menghimpunkan 818 peniaga membabitkan 603 reruai pameran dengan penyertaan dari Sabah, lapan negeri lain dan Wilayah Persekutuan di Malaysia serta 11 negara.
Penganjuran program berkenaan turut menjana anggaran impak ekonomi sebanyak RM2.41 juta, termasuk RM1.47 juta perbelanjaan baharu.
Selain itu, sebanyak 752 malam penginapan hotel direkodkan membabitkan peserta pameran dan pembeli jemputan dari luar Sabah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti negeri.
Pengerusi Penganjur BIGSABAH Sale 2026 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki, berkata pencapaian memberangsangkan itu mencerminkan komitmen bersama semua pihak dalam memperkukuh BIGSABAH Sale sebagai platform pembangunan perniagaan, perdagangan dan peluang ekonomi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Media BIGSABAH Sale 2026 di SICC, pada Jumaat.
Bertemakan “Across Markets, Beyond Borders” (Merentas Pasaran, Melangkaui Sempadan), penganjuran tahun ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pameran pengguna, malah memperkukuh segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perdagangan antarabangsa.
Menerusi inisiatif Trade Connect, Agro-Forum dan sesi padanan perniagaan berstruktur, program itu berjaya mengenal pasti 27 prospek perniagaan serta menghasilkan lapan padanan perniagaan strategik membabitkan peserta dari Wilayah Jilin, China, Thailand, Filipina, Korea dan Pahang.
Antara pencapaian turut membanggakan ialah dua Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan Dewan Perniagaan Malaysia-China Cawangan Sabah dengan organisasi perniagaan dari Wilayah Jilin, China.
Rosmawati berkata pencapaian itu memperlihatkan potensi BIGSABAH Sale dalam memperluas jaringan perniagaan dan menjalin kerjasama perdagangan merentas sempadan.
“Jika aktiviti perniagaan kepada pengguna memberi peluang kepada peniaga berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, inisiatif B2B pula membuka peluang kepada pasaran baharu, perkongsian strategik dan hubungan perdagangan jangka panjang.
“Inilah hala tuju yang ingin kita teruskan seiring perkembangan BIGSABAH Sale,” katanya.
Program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk BIGSABAH Voice, e-sukan, pertunjukan fesyen, bengkel profesional, Jualan Rahmah, Big Bad Wolf Books, CULT Car Show serta aktiviti berorientasikan keluarga.
Rosmawati turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media, penyiar, pencipta kandungan dan pemimpin pendapat yang memainkan peranan penting dalam memperluas publisiti BIGSABAH Sale 2026.
Sebanyak 37 laporan media cetak dan dalam talian dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Korea direkodkan, selain liputan televisyen, radio serta media sosial.
Kempen menerusi platform TikTok pula mencatat lebih 123,000 paparan.
Katanya, peranan media bukan sekadar memberikan publisiti, tetapi turut meningkatkan kesedaran, memperkukuh keyakinan masyarakat, menggalakkan penyertaan dan mengetengahkan kisah usahawan tempatan kepada khalayak lebih luas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, penaja, rakan strategik, peserta pameran, peniaga, Kumpulan Yayasan Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah, Sabah Convention Bureau, MACEOS Malaysia Cawangan Sabah serta seluruh pasukan penganjur SICC.
BIGSABAH SALE 2027 SASAR 120,000 PENGUNJUNG
Sementara itu, BIGSABAH Sale 2027 dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 10 Oktober 2027 di SICC, bersempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Penganjuran edisi akan datang menyasarkan kehadiran 120,000 pengunjung, penyertaan 900 peniaga dan 700 reruai pameran, selain menjana sekurang-kurangnya 50 prospek perniagaan serta memperluas penyertaan antarabangsa.
Rosmawati berkata pihak penganjur akan memberi penekanan kepada usaha menarik pembeli berpotensi yang memenuhi kriteria, memperkukuh inisiatif padanan perniagaan berstruktur dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
“Aspirasi kita adalah untuk menjadikan BIGSABAH Sale sebagai platform yang diiktiraf dalam menghubungkan komuniti perniagaan Sabah dengan pasaran serantau dan antarabangsa.
“Kita akan terus membina kejayaan berdasarkan pencapaian tahun ini, memperkukuh peranan dalam menyokong perusahaan tempatan, memudah cara perdagangan dan mengetengahkan potensi ekonomi Sabah,” katanya.
Perkembangan berterusan BIGSABAH Sale mencerminkan komitmen SICC dalam memperkukuh ekosistem perniagaan Sabah, memajukan industri acara perniagaan serta mewujudkan platform yang membawa manfaat ekonomi lebih meluas kepada negeri dan rakyat Sabah.
