Pengurusan majlis daerah perlu beri respons pantas kepada ahli majlis – Maijol

Caption: YB Datuk Dr Maijol menerima cenderamata dari Timbalan Pengerusi MDKM, Dr Jurin Gunsalam

KOTA MARUDU: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Maijol Mahap, meminta Majlis Daerah Kota Marudu (MDKM) terus memberi tumpuan kepada kebersihan, keceriaan, keselamatan dan keindahan landskap pekan itu.

Beliau yang juga ADUN Bandau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ahli-Ahli Majlis MDKM di Pusat Khidmat ADUN N6 Bandau di sini, hari ini. Kunjungan itu diketuai Timbalan Pengerusi MDKM, Dr Jurin Gunsalam.

Menurut Maijol, MDKM perlu memainkan peranan penting supaya Kota Marudu menjadi daerah yang bersih, cantik, teratur, selamat dan selesa didiami.

Beliau berkata, penampilan pekan dan persekitaran perlu diberi perhatian serius, terutama dalam persiapan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027.

“Pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Lembaga Pelancongan Sabah perlu bekerjasama dengan lebih erat untuk mempromosikan tempat pelancongan di Kota Marudu,” katanya.

Maijol berharap kedatangan lebih ramai pelancong ke Sabah sempena kempen itu turut memberi manfaat kepada Kota Marudu.

Dari segi kemudahan, beliau menyentuh keperluan menambah baik bangunan dan kemudahan MDKM supaya urusan majlis lebih cekap dan orang ramai lebih selesa. Antara cadangan yang diberi perhatian ialah menyediakan kawasan berbumbung di bangunan SEDCO Kota Marudu.

Maijol turut meminta Ahli-Ahli Majlis bergerak aktif, memberi pandangan yang membina dan bekerjasama dengan pengurusan majlis demi pembangunan daerah.

Beliau juga meminta pengurusan majlis mendengar pandangan Ahli-Ahli Majlis dan memberi respons secepat mungkin supaya isu dan cadangan dapat ditangani dengan lebih pantas.

“Matlamat kita ialah melihat Kota Marudu terus maju sebagai daerah yang bersih, cantik, selamat dan selesa, serta menarik kepada pelancong dan pelabur,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles