Sekolah Komuniti Besar Untuk Kecemerlangan- Maijol

SEMPORNA: Sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi sebuah komuniti besar yang bergerak bersama demi kecemerlangan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap ADUN Bandau, Datuk Dr. Maijol Mahap, berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam SMK Bugaya bertemakan “Memories of Elegant” 2026 pada malam Sabtu.

Menurutnya, majlis itu bukan sekadar pertemuan untuk menikmati hidangan dan persembahan, sebaliknya satu penghargaan terhadap perjalanan, kebersamaan dan kenangan yang dikongsi bersama warga sekolah.
“Inilah ruang untuk kita berehat seketika daripada kesibukan tugasan harian, berkongsi kegembiraan dan mengeratkan hubungan dalam suasana santai tetapi penuh makna,” katanya.

Beliau berkata, majlis seumpama itu turut mengukuhkan semangat kekeluargaan serta mencerminkan kesepaduan dan iltizam warga sekolah, hasil kepimpinan berwawasan dan warga kerja yang berdedikasi.

Maijol berharap majlis berkenaan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada warga SMK Bugaya.
Dalam masa sama, beliau turut menyelitkan pesanan untuk direnungi bersama.
“Kejayaan mungkin dikenang melalui pencapaian, tetapi legasi akan terus hidup melalui nilai, jasa dan sumbangan yang ditinggalkan. Janganlah kita hanya berusaha menjadi insan yang dikenali, tetapi berusahalah menjadi insan yang memberi makna,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah dan jawatankuasa penganjur atas jemputan yang diberikan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles