Kapsyen – Arthur menyampaikan sumbangan di majlis tersebut
PAGALUNGAN: Khazanah hutan negara tidak seharusnya dikorbankan semata-mata untuk mengejar keuntungan ekonomi jangka pendek kerana kepentingannya dalam menangani perubahan iklim dan memelihara keseimbangan ekosistem jauh lebih besar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, nilai sebenar kawasan hutan bukan hanya terletak pada hasil kayu balak, sebaliknya turut merangkumi fungsinya sebagai penyerap karbon, pelindung biodiversiti dan khazanah alam untuk generasi akan datang.
Menurutnya, kawasan Parlimen Pensiangan yang mempunyai hutan simpan luas perlu dipelihara secara berterusan bagi memastikan sumber semula jadi itu tidak terjejas akibat pembangunan yang hanya mengutamakan pulangan sementara.
Beliau berkata, semua pihak mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan kelestarian hutan terus menjadi keutamaan, terutama ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim yang semakin membimbangkan.
“Manfaat jangka panjang daripada pemeliharaan hutan jauh lebih besar berbanding keuntungan sementara yang diperoleh melalui aktiviti penebangan,” katanya ketika berucap sempena Program Kesedaran Awam Melalui Program Penghijauan Malaysia di Pagalungan.
Program berkenaan turut menyaksikan pengagihan anak pokok buah-buahan termasuk durian, rambutan dan nangka kepada 40 kampung sebagai sebahagian usaha memperluas kawasan penghijauan serta meningkatkan peluang ekonomi penduduk setempat.
Arthur berkata, pendekatan penghijauan itu bukan sekadar bertujuan memelihara alam sekitar, malah berpotensi memberikan manfaat ekonomi secara berterusan kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, hasil tanaman buah-buahan berkenaan boleh dimanfaatkan sebagai sumber makanan dan pendapatan tambahan, termasuk melalui cadangan penganjuran pesta buah-buahan pada masa depan.
Dalam pada itu, Arthur menegaskan, usaha memelihara hutan tidak bermakna pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi masyarakat pedalaman perlu diketepikan.
Sebaliknya, beliau mahu agenda pembangunan dan kelestarian alam sekitar dilaksanakan secara seimbang supaya penduduk luar bandar turut menikmati kemajuan tanpa menjejaskan khazanah semula jadi.
Menurutnya, beberapa inisiatif pembangunan yang diketengahkan di kawasan Pensiangan termasuk menaik taraf jalan raya, menyediakan kemudahan tamu, membina kilang kopi serta mewujudkan pusat Tingkatan Enam.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan penting bagi meningkatkan akses kemudahan asas, memperkukuh kegiatan ekonomi tempatan dan menyediakan peluang pendidikan lebih baik kepada masyarakat pedalaman.
Arthur turut menekankan bahawa setiap perancangan pembangunan perlu mengambil kira kepentingan rakyat pada masa kini tanpa mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
Katanya, Pensiangan berpotensi menjadi contoh kawasan pedalaman yang mampu mencapai kemajuan ekonomi dan pembangunan sosioekonomi secara mampan, di samping mengekalkan kekayaan hutan serta keseimbangan ekosistem.
