TSGP: APA YANG GRS RUNDING UNTUK SABAH SEHINGGA RM5 BILION KINI MEMBIAYAI PROJEK DI SEMENANJUNG?

Oleh Khairuddin Daud, Ketua Wira Warisan Sabah

KOTA KINABALU: Saya melahirkan rasa amat kecewa apabila pembiayaan pinjaman RM5 bilion berkaitan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) distrukturkan semula bagi membiayai projek bekalan air di Perak dan Pulau Pinang.

Persoalan terbesar saya ialah, apakah sebenarnya yang telah dirundingkan oleh Kerajaan GRS dengan Kerajaan Persekutuan untuk membela kepentingan rakyat Sabah sepanjang proses tersebut?

Adakah Kerajaan GRS terlibat dalam rundingan berkenaan? Jika ya, apakah tuntutan yang dikemukakan? Adakah mereka bersuara untuk memastikan Sabah menerima pembangunan yang setimpal, atau sekadar menerima keputusan yang dibuat?

Perkara ini amat mengecewakan kerana Sabah masih bergelut dengan masalah bekalan air dan elektrik, sedangkan projek infrastruktur bernilai berbilion ringgit yang pernah dirancang untuk negeri ini tidak diteruskan.

Saya tidak mempertikaikan keperluan pembangunan di Perak dan Pulau Pinang. Namun, mengapa pembiayaan berkaitan projek yang sebahagiannya dirancang untuk Sabah kini dimanfaatkan bagi projek di negeri lain, sedangkan keperluan infrastruktur Sabah masih mendesak?

Lebih menghairankan, terdapat pihak dalam Kerajaan GRS yang mahu menjauhkan pentadbiran mereka daripada isu TSGP dengan alasan projek tersebut bermula sebelum mereka memerintah.

Sedangkan pada 25 Ogos 2022, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri dilaporkan mencadangkan supaya TSGP dihentikan atas alasan ketiadaan bekalan gas dan digantikan dengan projek Southern Link.

Jika GRS tidak mahu dikaitkan dengan TSGP, siapa yang bertanggungjawab menjelaskan cadangan menghentikan projek tersebut? Di manakah pula perkembangan Southern Link yang dikemukakan sebagai alternatif?

Saya tidak menyalahkan GRS atas masalah kontrak dan pembayaran asal TSGP. Namun, rakyat berhak mempersoalkan apakah usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mempertahankan kepentingan Sabah dalam rundingan dan keputusan selepas itu.

Saya mengambil maklum komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan infrastruktur Sabah. Namun, Kerajaan GRS perlu menjelaskan apakah projek yang telah diperjuangkan, jumlah pembiayaan yang dipersetujui dan bilakah pelaksanaannya akan bermula.

Saya menuntut Kerajaan GRS mendedahkan sama ada rundingan rasmi telah berlangsung, siapa yang mewakili Sabah, apakah tuntutan yang dibawa dan apakah hasil konkrit yang diperoleh untuk rakyat negeri ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles