JBKD dan Muzium Sabah Adakan Pameran dan Jualan Buku Sempena Muzium Festival 2026 

KOTA KINABALU: Jabatan Bahasa Kadazandusun (JBKD), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, Tuaran dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah telah mengadakan Pameran & Jualan Buku Sempena Muzium Festival 2026 di Rumah Tatana, Kampung Warisan Fasa 2, Jabatan Muzium Sabah selama dua hari baru-baru ini.

Majlis Perasmian Muzium Festival 2026 itu disempurnakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md Shamsureezal bin Dato Mohd Sainal. 

Majlis perasmian tersebut turut menyaksikan Pelancaran Buku bertajuk “Martin and Osa Johnson and The People Of The Kinabatangan”.

Program itu merupakan acara yang telah dilaksanakan untuk memperkenalkan serta memartabatkan bahasa, budaya dan warisan masyarakat Kadazandusun melalui pelbagai bahan bacaan, pameran pendidikan dan aktiviti interaktif. 

Pameran itu juga diharap dapat menyemai kecintaan terhadap warisan budaya tempatan, di samping menggalakkan budaya membaca dan perkongsian ilmu dalam kalangan masyarakat.

Majlis ini turut dihadiri  Dr. Rosie Johnny, selaku pensyarah penasihat Kelab Wikimedia Kent (KWK), Puan Rosmahwati binti Ebbie, Cikgu Dohimbang Bongkihoi serta ahli Kelab Wikimedia Kent, iaitu siswa-siswi PISMP BKD Ambilan 2025/2029 dan PISMP BKD Ambilan 2026/2030.

Sepanjang Muzium Festival 2026 berlangsung, terdapat banyak pameran yang telah diadakan di sekitar kawasan Muzium Sabah. 

Salah satu pameran yang telah dibuka oleh JBKD dan Kelab Wiki Kent ialah pameran Wiki MuFez. 

Pameran itu mempamerkan hasil sumbangan dan penulisan pelajar dalam platform Wikimedia sempena Muzium Festival 2026.

Selain itu, pameran tersebut turut menampilkan pelbagai pengisian menarik yang lain. 

Antaranya ialah pameran dan jualan buku dalam Bahasa Kadazandusun, pameran buku cerita Bahasa Kadazandusun (BKD), pameran bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Kadazandusun, pameran interaktif permainan tradisional seperti Mipulos, Batu Seremban, pameran manik, pameran menyulam iaitu Linangkit serta pameran kraftangan.

Para pengunjung yang hadir bukan sahaja berpeluang untuk membeli buku-buku Bahasa Kadazandusun, malah turut berpeluang untuk mencuba sendiri permainan tradisional, mempelajari cara menyulam Linangkit, membuat manik serta mengenali dengan lebih dekat kraftangan masyarakat Kadazandusun secara interaktif bersama siswa guru IPGM Kampus Kent.

Puan Rosmahwati binti Ebbie, selaku penyelaras program ini berharap agar semangat kebersamaan dan kekeluargaan antara pensyarah, pelajar dan pihak Jabatan Muzium Sabah dapat dipupuk melalui program ini. 

Selain itu, beliau juga mengungkapkan penghargaan kepada pihak Jabatan Muzium Sabah yang sentiasa menyokong program-program yang dijalankan oleh Jabatan Bahasa Kadazandusun dan Kelab Wikimedia Kent. Seterusnya, beliau tidak lupa mengucapkan tahniah kepada para siswa yang telah terlibat menjayakan pameran ini dan berharap agar pengalaman seperti ini dapat menjadi inspirasi kepada semua siswa guru.

Sementara itu, Dr. Rosie Johnny, selaku pensyarah penasihat Kelab Wikimedia Kent, mengharapkan agar para siswa meneruskan usaha mereka dalam memajukan lagi Kelab Wikimedia Kent serta terus giat dalam menghasilkan penulisan dan sumbangan kepada Wikimedia kerana melalui platform tersebut, beliau percaya bahawa ia dapat melestarikan identiti kaum Kadazandusun.

Penganjuran Pameran & Jualan Buku Sempena Muzium Festival 2026 itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dan semakin berkembang. 

Pihak penganjur turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Muzium Sabah atas kerjasama yang diberikan serta kepada semua pengunjung yang telah memeriahkan pameran tersebut.

9

Related Articles

253FansLike

Latest Articles