KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyatakan sokongan terhadap pendirian dan gesaan CUEPACS Sabah agar Kerajaan Negeri Sabah mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini melalui Belanjawan Negeri Sabah 2027.
Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata
kesatuan berpandangan bahawa kebajikan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah sewajarnya turut diberikan perhatian dan pertimbangan oleh Kerajaan Negeri.
“Walaupun mereka berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sumbangan dan khidmat bakti mereka merupakan sebahagian daripada kekuatan jentera perkhidmatan awam yang menyokong pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam sektor pendidikan khususnya, beliau berkata guru-guru Persekutuan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan, mendidik generasi masa hadapan dan memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman Sabah.
Justeru, Murkam berkata KGKS berpandangan bahawa pemberian bantuan khas kewangan ini bukan sekadar soal bantuan material, tetapi juga merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan penjawat awam Persekutuan yang turut mencurahkan tenaga, masa dan komitmen demi kemajuan negeri Sabah.
“KGKS ingin menegaskan bahawa kebajikan penjawat awam tidak seharusnya dilihat berdasarkan perbezaan skim perkhidmatan atau pihak yang membayar gaji semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira sumbangan mereka kepada masyarakat dan negeri tempat mereka berkhidmat,” katanya.
Sehubungan itu, Murkam berkata KGKS menyeru agar Kerajaan Negeri Sabah, khususnya kepimpinan negeri dan pihak yang bertanggungjawab merangka Belanjawan Negeri Sabah 2027, dapat memberikan perhatian serius terhadap cadangan itu serta mempertimbangkan peruntukan sewajarnya bagi merealisasikan pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam Persekutuan di Sabah.
“Khidmat bakti kami untuk Sabah. Kebajikan kami juga wajar diberikan perhatian.
“KGKS percaya bahawa penghargaan terhadap penjawat awam merupakan pelaburan terhadap kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” kata Murkam.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian BKK sebanyak RM700 kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu.
