KOTA MARUDU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P168 Kota Marudu tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga Azwan bin Nayan yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Langkon Baru menerusi satu lawatan kebajikan pada Selasa yang diketuai Ketua Bahagiannya, Sarapin Magana.
Dalam lawatan itu, Sarapin bersama rombongan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian menyampaikan sumbangan wang tunai, makanan dan pakaian bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan, khususnya dalam memenuhi keperluan asas selepas kejadian tersebut.
Sarapin berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan yang berdepan kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran itu.
“Musibah seperti ini pastinya memberi kesan besar kepada kehidupan seisi keluarga. Kami berharap sumbangan yang disampaikan dapat sedikit sebanyak membantu mereka menghadapi keadaan sukar ini sementara menguruskan keperluan harian,” katanya.
Beliau turut berharap keluarga berkenaan mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Negeri, termasuk kemungkinan bantuan menerusi inisiatif Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), tertakluk kepada penilaian serta syarat kelayakan yang ditetapkan.
Menurutnya, kerjasama dan perhatian pelbagai pihak amat penting bagi memastikan keluarga yang ditimpa musibah mendapat bantuan sewajarnya untuk meneruskan kehidupan.
Turut menyertai lawatan itu ialah Pengerusi Tetap Bahagian, Dato Mordin bin Ali Omar; Setiausaha Bahagian, Lagason Lampong; Naib Ketua Pemuda, Clement Sarapin; serta isteri Ketua Bahagian, Sundiong Oduzan.
AJK Bahagian yang turut hadir ialah OKK Makinsos Nawai, Datin Justina Tuyundoh, Jaburah Dogion, Singan Lingkabung, Syntianna Laura Jubil, Raimun bin Mangantal, Masikong Maluk, Jimin Masaya, Datu Abdul Lali bin Abah dan Junain Talib.
