DAKWAAN 2,116 AHLI PARTI WARISAN BAHAGIAN KUDAT KELUAR PARTI TIDAK BENAR

Kenyataan Media Ketua Bahagian Warisan Kudat Datuk Harun Ismail

KOTA KINABALU: Kami ingin membuat penjelasan dan penafian berhubung video yang sedang tular di media sosial yang mendakwa seramai 2,116 ahli daripada 38 cawangan Parti Warisan Bahagian Kudat telah keluar parti.

Berdasarkan semakan dan padanan data keahlian serta dokumen bergambar yang dikemukakan, dakwaan tersebut didapati tidak selaras dengan rekod cawangan yang dapat dikenal pasti. 

Daripada 38 cawangan yang disebut, hasil semakan mendapati hanya 10 cawangan yang berdaftar, manakala hanya 3 daripadanya dikenal pasti aktif.

Oleh yang demikian, angka 2,116 ahli daripada 38 cawangan seperti yang diwar-warkan melalui video berkenaan tidak mempunyai asas pengesahan yang mencukupi berdasarkan semakan data yang telah dibuat.

Justeru, dakwaan tersebut tidak wajar disebarkan sebagai satu fakta yang telah disahkan.

Untuk makluman, jumlah keseluruhan keahlian Parti Warisan di kawasan Parlimen P167 Kudat yang merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu N01 Banggi, N02 Bengkoka, N03 Pitas dan N04 Tanjung Kapor adalah seramai 27,246 orang berdasarkan angka rekod yang dikemukakan.

Oleh itu, sebarang dakwaan berkaitan jumlah ahli yang keluar parti hendaklah dinilai berdasarkan rekod keahlian sebenar dan pengesahan rasmi, bukannya angka yang diwar-warkan tanpa bukti yang mencukupi.

Untuk makluman, Parti Warisan Sabah Bahagian Kudat telah melalui tempoh penggantungan selama hampir empat (4) tahun. 

Sepanjang tempoh tersebut, terdapat pelbagai isu berkaitan pengurusan dan pentadbiran cawangan yang perlu diselesaikan.

Selepas berlangsungnya pemilihan parti peringkat Bahagian Kudat pada 16 September 2026 yang lalu, terdapat segelintir pihak yang tidak berpuas hati berikutan tidak dapat bertanding atau gagal menghantar perwakilan ke peringkat bahagian.

Keadaan ini berkait dengan isu ketidaktertiban pengurusan cawangan serta kegagalan mengemukakan dokumen yang diperlukan, khususnya minit mesyuarat cawangan yang tidak Lengkap sebagai antara syarat pengesahan.

Kami ingin menegaskan bahawa proses pemilihan Parti Warisan Bahagian Kudat telah dilaksanakan mengikut tatacara dan syarat yang telah ditetapkan oleh parti. Sebarang dakwaan sebaliknya perlulah disertakan bukti yang sah dan dikemukakan melalui saluran rasmi parti.

Kami berpandangan bahawa ketidakpuasan hati segelintir individu terhadap keputusan pemilihan di mana Ada yang Kalah bertanding ,termasuk tidak memperoleh jawatan yang diharapkan, lebih kepada masalah peribadi , tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan ahli parti dan masyarakat.

Dalam sebuah organisasi politik, jawatan bukanlah matlamat utama perjuangan. 

Sebaliknya, amanah, tanggungjawab, disiplin dan kesetiaan kepada perjuangan parti harus menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, kami meminta semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat, khususnya melalui media sosial. 

Elakkan daripada memanipulasi angka dan fakta yang boleh menjejaskan imej serta keharmonian parti.Pendirian kami jelas: 

Jangan membina persepsi berdasarkan angka yang belum disahkan. Fakta dan rekod rasmi perlu menjadi asas kepada setiap kenyataan.

Parti Warisan perlu terus diperkukuhkan melalui perpaduan, disiplin, ketelusan dan semangat perjuangan demi kepentingan rakyat Sabah.

Kami dengan Tegas menyatakan Warisan Kudat Masih Kukuh dengan berjayanya melaksanakan Mesyuarat Agung Peringkat Bahagian pada 16 September 2026 yang lalu dengan kehadiran Ahli Dan Penyokong dari semua Kawasan yang membanjiri Dewan Hakka Kudat.

Kesatuan Dan kekuatan Parti Warisan dapat di lihat melalui sokongan di Peringkat akar umbi.Semangat rakyat Sabah terus menjadi tongak utama Parti Warisan Sabah.Sekian, terima kasih.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles