TUARAN: Selepas beberapa tahun tinggal di rumah usang, keluarga Samir Cosmas bersama enam orang anak kini mampu mengukir senyuman selepas impiannya memiliki rumah yang lengkap dan selesa menjadi kenyataan.
Dibina menerusi Program Jiwa Murni Tentera Darat 5 Divisyen dengan kerjasama kerajaan negeri dan Yadim, rumah tersebut dibina di Kampung Kindu, Tuaran menggantikan tempat kediaman lama Samir yang agak uzur.
Samir yang berumur 53 tahun menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, ATM dan Yadim yang menyiapkan rumah itu.
“Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan, angkatan tentera dan Yadim yang menyediakan rumah ini,” katanya.
Samir berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Teratak Prihatin di Kampung Kindu, dekat sini hari ini.
Majlis penyerahan kunci itu disempurnakan Panglima Lima Divisyen Infantri Kem Lok Kawi Mejar Jen Datuk Halim Khalid yang disaksikan
Ketua Setiausaha Politik Negeri Sabah, Abdul Kassim Razali yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, Abdul Kassim berkata projek pembinaan rumah yang dibiayai oleh kerajaan negeri ini menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan sedia ada dalam membela nasib rakyat terutama golongan warga miskin dan daif.