KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan sistem bon bernilai 10 peratus daripada harga ternakan di bawah Program Transformasi Ruminan Negeri bagi memastikan penternak tidak menjual induk lembu dan kambing terlalu awal, sekali gus meningkatkan populasi ternakan di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata langkah itu merupakan penambahbaikan program yang dilaksanakan sejak kira-kira 10 tahun lalu, namun belum menunjukkan pertambahan ketara dalam populasi lembu dan kambing.
Beliau berkata menerusi sistem baharu itu, penternak perlu membayar bon berdasarkan nilai ternakan yang diterima dan akan mendapatkannya semula selepas tempoh tiga tahun sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.
“Nilai seekor lembu adalah kira-kira RM16,000, manakala kambing RM1,600. Jadi, bon yang perlu dibayar ialah 10 peratus daripada nilai tersebut untuk tempoh tiga tahun.
“Sekiranya lembu-lembu ini produktif dan menghasilkan dua hingga tiga ekor anak dalam tempoh itu, bon akan dikembalikan kepada penternak untuk mereka mengembangkan lagi perusahaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima ketibaan 950 ekor kambing dari Sydney, Australia, bernilai kira-kira RM1.6 juta, serta 140 ekor lembu tenusu baka Jersey Friesien di MASKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.
Jamawi berkata sebanyak 395 ekor lembu tenusu diperuntukkan di bawah program berkenaan, dengan baki 255 ekor dijadual tiba pada 27 Oktober ini.
Kesemua ternakan yang tiba akan menjalani kuarantin selama kira-kira seminggu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Penampang sebelum diagihkan kepada penerima yang layak mulai 28 Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan piawaian kuarantin.
Beliau berkata program itu mempunyai dua matlamat utama bagi kambing, iaitu memperkasakan penternak sedia ada dan membantu pekebun kelapa sawit meningkatkan pendapatan melalui integrasi ternakan dengan tanaman sawit.
Seramai 19 penternak akan menerima kambing, manakala lembu tenusu akan diserahkan kepada dua entiti, iaitu SLDB di Keningau dan Desa Keningau, untuk diuruskan dan diternak.
Jamawi berkata baka lembu tenusu berkenaan dipilih kerana lebih sesuai dengan keadaan cuaca panas di Keningau serta mempunyai potensi menghasilkan sehingga 30 liter susu sehari, berbanding purata pengeluaran semasa sekitar 14 hingga 15 liter sehari bagi kedua-dua penerima.
Katanya, beliau sendiri terlibat bersama pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam proses pemilihan ternakan di beberapa lokasi di Australia, termasuk Darwin, Sydney, Melbourne dan Brisbane, bagi memastikan kualitinya menepati keperluan penternak tempatan.
Beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada kebajikan haiwan dengan menggunakan penerbangan khas bagi membawa ternakan berkenaan, yang mengambil masa kira-kira lapan jam dari Sydney ke Sabah, berbanding lapan hingga sembilan hari melalui pengangkutan laut.
“Selain kebajikan haiwan, kita mahu memastikan ternakan yang dibekalkan mempunyai kualiti yang baik dan mampu menjadi induk produktif untuk beberapa generasi.
“Potensi induk ini boleh mencapai tujuh generasi. Kita mahu penternak memelihara dan mengembangkan populasi ternakan mereka, bukan menjual induk selepas kelahiran pertama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata kerajaan menerima 850 ekor lembu pedaging pada minggu sebelumnya, bernilai kira-kira RM10 juta, yang mula diagihkan kepada penternak berjaya sejak sehari sebelum itu.
Beliau berkata jumlah peruntukan bagi penghantaran ternakan berkenaan, termasuk lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing, adalah kira-kira RM17 juta.
Katanya, kerajaan menyasarkan tahap sara diri (SSL) bagi daging ruminan meningkat kepada 40 peratus menjelang 2030, berbanding kira-kira 25 peratus bagi daging lembu dan 5.5 peratus bagi kambing ketika ini, manakala pengeluaran susu lembu telah mencapai hampir 100 peratus SSL.
Jamawi berkata penternak yang berminat menyertai program itu boleh menghubungi pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran untuk mendaftar minat dan mengikuti kursus yang ditetapkan.
Beliau berkata kelulusan bantuan ternakan turut bergantung pada kesediaan kemudahan kandang, keluasan kawasan, bekalan makanan serta kemampuan penternak mengurus ternakan dengan baik.
“Kita tidak mahu hanya mengagihkan ternakan kepada mereka yang memohon. Kita mahu penternak mempunyai minat dan ilmu supaya dapat mengurus ternakan dengan baik serta membantu memajukan industri ruminan Sabah,” katanya.
Hadir sama Timbalan Pengarah Keneddy Juani serta pegawai-pegawai VET.
