KOTA MARUDU: Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) menyambut baik dan menyokong penuh penegasan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika merasmikan Konyensyen GRS di Kudat Ahad lalu, bahawa kepentingan negeri dan rakyat Sabah mesti sentiasa mendahului sebarang agenda politik kepartian.
Pengerusi PERKOM, Dato’ Dr. Janathan Kandok berkata, peringatan Hajiji yang juga Presiden GRS berhubung prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga” mestilah dizahirkan menerusi kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) secara berfokus di peringkat akar umbi, terutamanya di Daerah Kota Marudu.
“PERKOM melihat pesanan Hajiji bukan sekadar naratif politik, sebaliknya satu seruan bertindak. Apabila Ketua Menteri menegaskan bahawa kepentingan Sabah perlu diutamakan, acuan utamanya adalah menjayakan agenda Pelan Pembangunan SMJ di daerah-daerah yang memerlukan tumpuan ekonomi khusus seperti Kota Marudu,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pendirian politik yang berprinsip mestilah diukur daripada sejauh mana dasar kerajaan seperti SMJ membawa impak nyata kepada poket dan taraf hidup rakyat.
“Politik ialah wadah, tetapi kesejahteraan Sabah dan rakyatnya adalah matlamat utama. PERKOM bersedia berperanan aktif sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji untuk memastikan setiap inisiatif Pelan Pembangunan SMJ dapat dirasai nikmatnya oleh seluruh komuniti Kota Marudu,” tambah Dato’ Dr. Janathan.
Mengaitkan Teras Utama Hala Tuju SMJ, Dr. Janathan menggariskan tiga pelaksanaan ekonomi di Kota Marudu yang seiring dengan gagasan berkenaan.
“Perlu cepatkan penubuhan pusat pengumpulan, pemprosesan, dan pembungkusan hasil tani tempatan di Kota Marudu. Ini dapat sokong fokus SMJ dalam modenkan sektor pertanian dan hiliran supaya petani dan nelayan dapat hasil jualan tinggi,” katanya.
Menurut Dr. Janathan, pelaksanaan program latihan kemahiran (TVET) bersasar untuk anak muda tempatan Kota Marudu serta menguatkuasakan keutamaan pengambilan tenaga kerja anak negeri (Sabah-First Policy) dalam projek-projek pembangunan berasaskan acuan SMJ perlu disegerakan.
Dr. Janathan yang juga Timbalan Ketua Bahagian PGRS Kota Marudu berkata, usahawan Kota Marudu hendaklah merebut peluang mendapatkan dana sokongan mikro dan bimbingan digital yang disediakan kerajaan GRS supaya produk berasaskan asas tani dan kraf tangan Kota Marudu mampu dipasarkan secara meluas selari dengan agenda
