Sabah kaya sumber asli, tetapi belum manfaat teknologi sepenuhnya – Yusof Apdal

Kapsyen – Salah seorang rakan media yang bertuah menerima hadiah cabutan bertuah yang disampaikan Datuk Mohammad Yusof Apdal pada program Kupi-Kupi Bah Kita di Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sabah perlu beralih daripada kebergantungan terhadap hasil mentah kepada ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi bagi memanfaatkan sepenuhnya kekayaan sumber semula jadinya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Mohammad Yusof Apdal berkata, negeri itu mempunyai potensi besar dalam bidang biodiversiti, penyelidikan dan pembangunan teknologi, namun masih banyak peluang ekonomi belum diteroka.

Katanya, penggunaan teknologi moden boleh membantu Sabah menghasilkan produk bernilai tambah, sekali gus membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu.

“Ini bukan lagi zaman kita hanya menjual kayu balak atau hasil kelapa sawit. Sekarang zaman teknologi.

“Kita perlu melihat bagaimana teknologi boleh membantu membangunkan sumber yang ada di Sabah,” katanya ketika berucap pada sesi pertemuan bersama pengamal media Sabah anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Yusof berkata, antara cabaran utama ialah kurangnya pendedahan mengenai fungsi MOSTI dan peluang yang disediakan kementerian itu kepada masyarakat, khususnya di Sabah.

Menurutnya, ramai masih melihat penyelidikan sebagai kegiatan akademik semata-mata, sedangkan hasil kajian berpotensi dikomersialkan untuk menjana pendapatan dan membantu pembangunan negara.

Beliau berkata, inovasi memainkan peranan penting dalam memastikan penemuan saintifik dan pembangunan teknologi tidak terhenti pada peringkat penyelidikan.

“Kalau ada sains dan teknologi tetapi tiada inovasi, kita tidak akan pergi jauh,” katanya.

Yusof turut menggesa media tempatan meningkatkan liputan mengenai perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu supaya masyarakat Sabah tidak ketinggalan.

Katanya, pemahaman mengenai AI tidak seharusnya terbatas kepada cara menggunakan teknologi itu, sebaliknya perlu merangkumi manfaat, risiko serta aspek etika.

Beliau berkata, penyalahgunaan AI, termasuk penghasilan imej atau kandungan palsu, boleh menimbulkan kekeliruan sekiranya masyarakat tidak mempunyai pengetahuan mencukupi.

“Jangan hanya percaya kepada AI tanpa memahami teknologi itu. Kita perlu tahu kelebihannya dan pada masa sama memahami risiko penyalahgunaannya,” katanya.

Yusof berkata, MOSTI mempunyai pelbagai agensi dan kepakaran yang boleh membantu pembangunan ekonomi Sabah, termasuk dalam penyelidikan, inovasi serta penerokaan sumber semula jadi.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama dengan media diperlukan bagi memastikan maklumat mengenai peluang tersebut sampai kepada masyarakat.

Beliau turut menyentuh kepentingan meningkatkan akses pendidikan tinggi dalam kalangan anak Sabah dan menggalakkan pelajar yang layak mempertimbangkan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tanpa hanya bergantung kepada tawaran biasiswa.

Menurutnya, peluang melanjutkan pengajian tidak sepatutnya dilepaskan semata-mata kerana kekangan kewangan atau kurangnya pemahaman mengenai kemudahan pembiayaan pendidikan.

Dalam perkembangan lain, Yusof berkata, tapak tanah bagi pembinaan kemudahan Jabatan Kimia Malaysia cawangan Tawau telah diluluskan susulan kebimbangan terhadap kesesuaian premis sedia ada yang beroperasi di rumah kedai.

Katanya, kemudahan lebih sesuai diperlukan bagi menyokong tugas jabatan itu, termasuk analisis forensik dan penyelidikan saintifik.

Beliau berharap kerjasama antara kementerian, agensi Persekutuan, kerajaan negeri dan media dapat diperkukuh bagi mempercepat penerapan teknologi dalam pembangunan Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles