KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah meminta supaya kemudahan di Kompleks Sukan Sipitang dan Kompleks Sukan Beaufort dipertingkatkan, bagi memenuhi keperluan ke arah pembangunan sukan.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan supaya diperbanyakkan kemudahan sukan di kampung-kampung kerana ia menjadi platform generasi muda mengasah bakat.
Berucap menyokong Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Matbali berkata pembangunan sukan tidak boleh hanya berlegar di bandar-bandar besar.
“Kalau kita benar-benar mahu melahirkan juara, kita mesti membina gelanggang di kampung, menyediakan padang di daerah dan membuka ruang kepada anak-anak di luar bandar.
“Juara tidak semestinya lahir di stadium besar, kadang-kadang juara bermula di gelanggang kecil sebuah kampung nun jauh terpencil,” katanya.
Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) berkata daerah Sipitang antara contoh tempat lahirnya beberapa lagenda sukan dan atlet yang mengukir nama di persada sukan tanah air.
Antaranya Andrew Laban, Ronny Harun dan Mafry Balang dalam sukan bola sepak.
Terbaru, nama atlet asal Sipitang, Gerfan Nigel Frank, menyinar di balapan yang memenangi pingat emas SUKMA Selangor 2026 dalam acara lompat bergalah lelaki dengan catatan 4.55 meter.
Sebelum itu pada 2023, Sipitang juga mengharumkan nama Sabah di pentas sukan dunia apabila pemanah tradisional asal Sipitang, Ismail Jumat memenang i pingat gangsa untuk kontinjen Malaysia pada Kejohanan Terbuka Memanah Tradisional Eropah (ETO) di Jerman.
Pada kejohanan yang sama, Rohayati Tarip @ Tariff, juga dari Sipitang turut menduduki tempat keempat.
Dalam pada itu, Matbali berkata kemudahan di Kompleks Sukan Sipitang perlu dipertingkatkan kerana ia stu-satunya ruang utama warga setempat untuk beriadah, bersukan dan menjalankan aktiviti komuniti.
Sementara itu, katanya, kerajaan perlu menaik taraf fasiliti dan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Beaufort.
Ketika ini, katanya, kompleks itu mempunyai kemudahan asas seperti trek larian, padang bola sepak, gelanggang terbuka yang boleh digunakan untuk sukan bola tampar, bola keranjang dan futsal.
“Adalah dicadangkan supaya kementerian menambah kemudahan di kompleks ini seperti dewan permainan padang hoki, lawn bowl, kolam renang dan lampu limpah padang bola sepak,” katanya.
Mengenai Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026, Matbali berkata pindaannya amat bertepatan sekali seiring perkembangan sukan negara.
“Kita juga perlu memperkukuh tadbir urus dan pemantauan badan sukan. Ia memastikan setiap badan sukan bergerak dengan perlembagaan, integriti, akauntabiliti dan kepentingan atlet sebagai keutamaan,” katanya.
