KOTA KINABALU: Satu anjakan dinamik dalam landskap politik Sabah kini mula kelihatan dengan jelas.
Bermula dengan kehadiran bersama tiga tokoh parti tempatan – presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Priscella Peter sempena sambutan Hari Malaysia di Batu Sumpah, Keningau pada 16 September lepas, keakraban pimpinan ketia-tiga parti itu kuni mula menurun dan diterjermah di peringkat akar umbi.
Sebagai contoh, semalam, beberapa anggota pimpinan KDM Kota Marudu, termasuk bekas calon DUN Bandau dalam PRN lepas Jaiping Minsu Lumidang dan anggota pimpinan STAR Kota Marudu hadir sama pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Parti Warisan P168 Kota Marudu.
Jika ada yang masih “ragu-ragu” dan melihat kebersamaan Figur-figur berpengaruh di Batu Sumpah itu sebagai hanya “kebetulan, kebersamaan terbaharu anggota pimpinan Warisan, KDM dan STAR Kota Marudu itu mungkin sedikit sebanyak mula melenyapkan persepsi kurang yakin itu, sekali gus membayangkan gabungan tiga parti tempatan itu akan memberi tentangan ‘hebat’ yang mungkin boleh mencipta kejutan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Pada hari ini (Ahad), saya memenuhi undangan untuk hadir bersama dengan Pimpinan Parti KDM bagi P168 Kota Marudu di Mesyuarat Agung Parti Warisan P168 Kota Marudu. Saya amat menghargainya.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pimpinan Warisan P168 Kota Marudu kerana telah berjaya melaksanakan mesyuarat tersebut dengan jayanya,” kata Jaiping dalam catatan terbaharu di Facebook.
Jaiping berkata turut hadir bersama dalam program itu ialah pimimpin Parti STAR di P168 Kota Marudu.
Ramai pemerhati politik tempatan berpendapat bahawa hubungan erat antara parti-parti tempatan kebiasaannya didorong oleh penubuhan gabungan politik baharu atau kerjasama strategik demi menghadapi pilihan raya.
Namun, mereka berkata kerjasama di peringkat atasan memerlukan masa untuk diterjemahkan ke peringkat bawah.
“Apabila keakraban ini mula kelihatan di peringkat akar umbi, pastinya kekuatan gabungan parti akan terserlah. Alangkah baiknya kalau tiga parti ini dapat membentuk satu gabungan parti.
“Keakraban di peringkat akar umbi boleh dikatanya sebagai petunjuk utama kekuatan sesebuah pakatan politik, memandangkan sokongan padu daripada ahli biasa adalah tunjang sebenar yang menggerakkan kemenangan parti di kawasan parlimen,” kata pemerhati politik.
Menurut mereka, masih terlalu awal untuk membuat analisis tentang keberkesanan kerjasama parti tempatan Warisan, KDM dan STAR namun mereka sependapat bahawa tiga parti bekerjasama itu lebih kuat dan mantap berbanding bertanding solo.
.
