Cadangan gaji sara hidup RM3,100 perlu dikaji dengan teliti – David Ong

Oleh JT

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), David Ong, berkata cadangan untuk menaikkan gaji minimum Malaysia kepada RM3,100 perlu dikaji dengan diteliti , khususnya dari segi kesannya terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pelbagai aspek ekonomi di seluruh negara.

Beliau berkata, tiada pertikaian bahawa pekerja berhak mendapat gaji yang lebih baik dan taraf hidup yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, Ong menegaskan bahawa penanda aras gaji sara hidup dan gaji minimum berkanun adalah dua konsep yang berbeza.

“Angka RM3,100 itu diperkenalkan sebagai penanda aras gaji sara hidup, dengan mengambil kira kadar gaji serta kos untuk mengekalkan taraf hidup yang wajar.

“Namun, persoalannya ialah sama ada penanda aras gaji sara hidup itu wajar secara automatik menjadi gaji minimum wajib yang perlu dibayar oleh setiap majikan—tidak kira saiz perniagaan, industri atau lokasi—seperti yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ong berkata, peningkatan gaji minimum berkanun daripada RM1,700 kepada RM3,100 bermakna kenaikan melebihi 82 peratus dalam satu langkah.

“Kami menyokong aspirasi agar rakyat Malaysia memperoleh pendapatan RM3,100 ke atas. Namun, aspirasi dan kewajipan berkanun adalah dua perkara yang berbeza.”

“Sebelum mempertimbangkan kenaikan yang begitu besar, kerajaan harus meneliti kesannya terhadap produktiviti, pekerjaan, inflasi, kelestarian perniagaan serta perbezaan keadaan ekonomi antara wilayah,” tegas beliau.

Ong berkata, kemampuan syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan untuk melaksanakan gaji sara hidup RM3,100 tidak seharusnya dianggap secara automatik sebagai bukti bahawa setiap majikan sektor swasta mampu menampung tahap gaji minimum yang sama.

“Syarikat besar dan kedai kopi, restoran, bengkel atau perniagaan keluarga yang kecil beroperasi dalam keadaan kewangan yang jauh berbeza. “Sebagai contoh, perniagaan kecil yang menggaji sepuluh pekerja akan menanggung kos tambahan RM14,000 bagi gaji asas bulanan sekiranya gaji dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM3,100, malah sebelum mengambil kira peningkatan kos pekerjaan berkanun yang berkaitan,” katanya.

Ong menegaskan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah penting kepada ekonomi Malaysia, justeru kebimbangan mereka tidak boleh diabaikan.

“Pada tahun 2025, PMKS merangkumi 96.2 peratus daripada semua pertubuhan perniagaan di Malaysia dan menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. “Ia juga menggaji 8.09 juta orang, mewakili 48.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjaan.

Angka-angka ini menunjukkan bahawa PMKS bukanlah sebahagian kecil daripada ekonomi kita. Kita tidak boleh melaksanakan dasar yang secara tidak sengaja meletakkan kelangsungan hidup mereka dalam risiko.”

Ong memberi ingatan bahawa apabila kos buruh meningkat jauh lebih pantas berbanding produktiviti dan hasil perniagaan, sesetengah perniagaan mungkin terpaksa bertindak balas dengan menaikkan harga, mengurangkan pengambilan pekerja, memendekkan waktu kerja, mengautomasikan tugas tertentu atau mengurangkan tenaga kerja mereka.

“Tujuannya adalah untuk meningkatkan taraf hidup pekerja. Kita mesti memastikan pelaksanaannya tidak mencetuskan kesan sampingan yang tidak diingini, yang akhirnya menjejaskan golongan pekerja yang sebenarnya ingin kita bantu.”

Beliau juga menggesa kerajaan persekutuan supaya memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak, dan tidak menganggap keadaan ekonomi adalah sama rata di seluruh Malaysia.

“Apa yang mungkin mampan bagi syarikat besar di Kuala Lumpur tidak semestinya mampan bagi perniagaan kecil yang beroperasi di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau atau kawasan luar bandar di Sabah.

“Sebelum membuat keputusan mengenai perubahan besar seumpama itu, perlu ada rundingan yang sewajarnya serta kajian impak yang melibatkan majikan, pekerja dan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), termasuk pertimbangan khusus terhadap Sabah dan Sarawak,” katanya.

Justeru, Ong berkata perbincangan mengenainya tidak seharusnya terhad kepada persoalan sama ada RM3,100 itu mencukupi untuk pekerja. “Kita juga mesti bertanya sama ada kadar gaji minimum wajib RM3,100 di seluruh negara itu mampan untuk perniagaan, dan apakah langkah yang perlu diambil bagi membantu majikan mencapai tahap tersebut.

“Matlamat sebenar tidak seharusnya sekadar angka yang lebih tinggi pada slip gaji. Sebaliknya, ia haruslah menjurus kepada kuasa beli yang lebih tinggi, pekerjaan yang lebih baik, perniagaan yang mampan serta pertumbuhan gaji yang mampan untuk rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles