USIA DAN NGO-NGO ISLAM SABAH TEGAS BANTAH PENGANJURAN “ISRAEL & NEW BREED – TILL THE WHOLE WORLD KNOWS TOUR 2026

Kenyataan Media USIA Bersama NGO-NGO Islam Sabah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah Termasuk WP Labuan (USIA) bersama NGO-NGO Islam Sabah menyatakan bantahan tegas dan serius terhadap penganjuran program “Israel & New Breed –Till The Whole World Knows Tour 2026” yang dijadualkan berlangsung di Hakka Hall, di sini, pada 22 Oktober depan.

Turut dibantah ialah kehadiran artis antarabangsa Israel Houghton dalam program berkenaan.

Bantahan ini bukan berkaitan soal agama atau bangsa, sebaliknya berhubung dengan pendirian terbuka individu berkenaan terhadap Israel yang boleh disemak melalui hantaran media sosial beliau sendiri. 

Antaranya, terdapat hantaran yang memaparkan simbol Israel bersama kenyataan “I pray for the peace of Jerusalem. I stand with Israel”. 

Pendirian terbuka seperti ini sememangnya mempunyai implikasi dari sudut sensitiviti masyarakat, khususnya ketika dunia sedang menyaksikan penderitaan berterusan yang dialami rakyat Palestin.

USIA dan NGO-NGO Islam Sabah menghormati kebebasan beragama serta menolak sebarang bentuk kebencian terhadap mana-mana agama, bangsa atau komuniti. 

Namun begitu, kebebasan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai keperluan untuk menerima atau menormalisasikan setiap pendirian politik atau sokongan terhadap pihak yang sedang menjadi pertikaian serius dalam isu kemanusiaan antarabangsa.

Kami berpandangan bahawa Sabah mempunyai identiti masyarakat yang menjunjung keamanan, keharmonian, toleransi dan nilai kemanusiaan sejagat. 

Justeru, sebarang penganjuran program antarabangsa yang melibatkan individu dengan pendirian awam berkaitan konflik Israel-Palestin wajar dinilai dengan penuh tanggungjawab, termasuk dari aspek sensitiviti masyarakat, kepentingan awam, ketenteraman serta keharmonian rakyat Sabah.

Sehubungan itu, USIA dan NGO-NGO Islam Sabah menyeru pihak berkuasa serta agensi berkaitan supaya meneliti semula segala kelulusan, permit dan aspek penganjuran program tersebut, termasuk kedudukan serta kenyataan awam artis yang terlibat. 

Kami berharap semua pihak berkuasa menggunakan bidang kuasa yang ada bagi memastikan sebarang program yang berlangsung di Sabah tidak menimbulkan ketegangan atau mencetuskan sensitiviti yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Kami akan membuat laporan polis sebagai bantahan dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan serta tindakan. 

Kami tidak menyeru kepada kebencian, kekerasan atau tindakan terhadap mana-mana individu atas dasar agama dan bangsa. 

Sebaliknya, pendirian kami adalah berasaskan prinsip kemanusiaan serta keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin.Palestin bukan sekadar isu politik. Palestin ialah isu kemanusiaan.

Atas prinsip tersebut, USIA dan NGO-NGO Islam Sabah akan terus menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menolak sebarang usaha yang dilihat boleh menormalisasikan sokongan terhadap penindasan dan penderitaan rakyat Palestin.

Kami menyeru masyarakat Sabah supaya mengekalkan ketenangan, tidak mengambil tindakan sendiri dan menyalurkan sebarang bantahan melalui saluran yang sah. 

Kekuatan perjuangan bukan pada kekerasan, tetapi pada keteguhan prinsip, kewarasan tindakan dan kesatuan suara yang disampaikan secara aman.

USIA dan NGO-NGO Islam Sabah berdiri bersama prinsip kemanusiaan, keamanan dan keadilan.“Sabah Negeri Harmoni, Jangan Jadikan Sabah Platform Menormalisasikan Penindasan.”

Related Articles

253FansLike

Latest Articles