Pembangunan Infra Pengangkutan Sabah Masih Menjadi Keutamaan Kerajaan Madani

Oleh Ahmad Farid Sainuri, Ketua Penerangan Keadilan Sabah

KOTA KINABALU: Saya merujuk kenyataan Ketua Penerangan PAS Sabah yang mempersoalkan keutamaan Kerajaan Persekutuan susulan lebih RM21 bilion projek infrastruktur pengangkutan yang diluluskan untuk Pulau Pinang. 

Kita tidak menafikan bahawa keadaan jalan raya di Sabah masih memerlukan perhatian serius. Sebagai anak Sabah, kita mahukan Pan Borneo disiapkan lebih cepat dan jurang pembangunan antara Sabah dengan Semenanjung terus dikecilkan.

Tetapi kalau mahu membandingkan, bandinglah secara adil. Angka lebih RM21 bilion yang disebut untuk Pulau Pinang bukanlah peruntukan tahunan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. 

Sebahagian besarnya datang daripada projek infrastruktur berskala besar yang dilaksanakan secara berperingkat untuk tempoh beberapa tahun, khususnya projek LRT Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion, selain projek pembesaran lapangan terbang, pelabuhan dan terminal pelayaran.

Oleh itu, tidak tepat jika nilai keseluruhan projek Pulau Pinang dibandingkan hanya dengan satu komponen peruntukan penyelenggaraan jalan Sabah bagi satu tahun. 

Kalau kita mahu memasukkan keseluruhan nilai LRT Penang dalam perbandingan, maka kita juga mesti memasukkan keseluruhan nilai projek mega yang sedang dilaksanakan di Sabah.

Belanjawan 2026 sendiri menyenaraikan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B bernilai RM15.9 bilion. 

Selain itu, terdapat juga Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 dan 2 bernilai RM8.81 bilion serta Lebuhraya Trans Borneo bernilai RM2.99 bilion yang menjadi sebahagian daripada pembangunan rangkaian strategik Borneo.

Dalam sektor penerbangan pula, hampir RM500 juta diluluskan bagi pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), manakala RM120.9 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Lapangan Terbang Tawau. 

Ini bermakna hampir RM620 juta bagi KKIA dan Tawau sahaja, belum termasuk perancangan menaik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu.

Justeru, pembangunan LRT Pulau Pinang tidak bermaksud Sabah ditinggalkan dari aspek pembangunan infrastruktur pengangkutan.

Penang mempunyai masalah pengangkutan bandar, kepadatan dan kesesakan yang memerlukan sistem transit massa.

Sabah pula sebuah wilayah yang jauh lebih luas dengan cabaran geografi berbeza. Sebab itu keutamaannya merangkumi Lebuhraya Pan Borneo, jalan luar bandar, jalan perhubungan antara daerah serta infrastruktur asas.

Keadilan pembangunan bukan bermaksud Penang tidak boleh mendapat LRT selagi setiap jalan di Sabah belum selesai. 

Keadilan pembangunan bermaksud Kerajaan Persekutuan perlu membangunkan kedua-duanya berdasarkan keperluan masing-masing, sambil memberikan perhatian lebih besar untuk merapatkan jurang pembangunan Sabah.

Kita juga harus berlaku adil kepada fakta mengenai Pan Borneo. Setakat perkembangan terkini, kemajuan fizikal Pan Borneo Sabah telah mencapai sekitar 88 peratus bagi Fasa 1A dan melebihi 20 peratus bagi Fasa 1B. 

Kerajaan mesti terus memastikan projek ini dipercepatkan dan disiapkan tanpa kelewatan yang tidak munasabah.

Sabah masih mendapat perhatian dan keutamaan Kerajaan MADANI.

Tugas kita sekarang ialah memastikan setiap peruntukan dan projek itu dilaksanakan dengan lebih pantas dan sampai manfaatnya kepada rakyat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles