PENDIDIKAN PELABURAN MASA DEPAN SABAH – AZIZAH

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta Kerajaan Negeri atas komitmen berterusan memperkasa pendidikan anak-anak Sabah.

Beliau berkata, pencapaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyalurkan lebih RM40.16 juta kepada 27,781 penerima bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026 membuktikan pendidikan terus diberi keutamaan dalam pembangunan negeri.

Bagi Januari hingga Ogos 2026 sahaja, seramai 11,383 penerima mendapat manfaat membabitkan kira-kira RM15.89 juta.

“Pendidikan adalah pelaburan yang amat penting untuk Sabah Maju Jaya. Tahniah dan syabas kepada YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri atas usaha yang amat bermanfaat kepada anak-anak Sabah dan masa depan negeri.

“Pembangunan Sabah bukan setakat membina jalan dan jambatan. Kita juga perlu membangunkan anak-anak Sabah melalui pendidikan bagi melahirkan modal insan berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

“Itulah sebabnya TPNS terus diperkasakan supaya lebih ramai anak Sabah mendapat peluang membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizah berkata, usaha Kerajaan Negeri turut diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), BUDI, BAIK, BAKTI, GRS-SUBFLY dan SENTOSA.

Katanya, bantuan berkenaan penting khususnya kepada keluarga berpendapatan rendah serta pelajar luar bandar dan pedalaman supaya kekangan kewangan tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pendidikan.

“Kita bina infrastruktur untuk pembangunan hari ini, tetapi melalui pendidikan kita membina generasi yang akan menentukan masa depan Sabah.

“Setiap ringgit yang dilaburkan kepada pendidikan anak-anak Sabah adalah pelaburan kepada masa depan Sabah Maju Jaya, insya-Allah,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles