KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud mencadangkan kawasan Parlimen Sepanggar dipecahkan kepada dua sekiranya penambahan kerusi Parlimen Sabah dilaksanakan.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata cadangan itu mengambil kira jumlah pengundi di kawasan berkenaan yang menurutnya kini sekitar 130,000 orang.
“Parlimen perlu ditambah. Sepanggar boleh dibahagi dua sebab Parlimen Sepanggar paling ramai, 130,000 pengundi.
“Kalau dua Parlimen, dapat dua peruntukan tambahan di Sepanggar,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Pesta Kuih Bulan Sempena Hari Malaysia Parlimen Sepanggar di sini malam ini.
Bagaimanapun, sebarang pembentukan kawasan Parlimen baharu perlu melalui proses persempadanan dan mekanisme berkaitan SPR, manakala perubahan komposisi Dewan Rakyat melibatkan proses Perlembagaan. Mustapha sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa SPR telah diminta mengkaji isu penambahan perwakilan Sabah dan Sarawak.
Mustapha berkata penambahan kerusi perlu dilihat dalam konteks lebih luas mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak ketika pembentukan Malaysia serta tuntutan berkaitan MA63.
“Semangatnya ialah satu pertiga Sabah dan Sarawak di Parlimen. Bukan hanya sebelah pihak sahaja, mereka dua pertiga.
“Kita menyuarakan hak kita, perlu tambah. Kita mahu Malaysia kekal selamanya,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 11 Sept mengumumkan kerajaan bersetuju secara prinsip meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat melebihi kadar semasa. Bagaimanapun, jumlah kerusi dan mekanisme pelaksanaannya masih perlu dibincangkan bersama SPR.
Kerajaan turut menyatakan isu pertambahan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
Mustapha berkata tanggungjawabnya adalah meneruskan proses penyelesaian perkara berkaitan MA63 yang masih berlarutan.
“Sabah membentuk Malaysia. Kita bentuk Malaysia bukan begitu sahaja, ada syarat-syaratnya iaitu MA63.
“Syarat-syarat ini sudah menjadi isu berlarutan sejak dulu hingga sekarang. Tugas saya adalah menyambung dan menjalankan proses-proses itu,” katanya.
Beliau berkata fokus penambahan kerusi bukan sekadar soal politik, tetapi juga memperkukuh perwakilan dan penyelesaian isu rakyat.
“Jangan kita ikut budaya dalam atau luar negara, selesaikan masalah rakyat,” katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mustapha berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya pada Selasa depan bagi membincangkan perincian keputusan kerajaan menambah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
