Oleh Yussof J. Imbang
KOTA KINABALU; Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari diingatkan supaya tidak mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak susulan cadangan penambahan nisbah kerusi Parlimen di kedua-dua wilayah itu.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menegaskan, pemimpin PAS itu cuba meniupkan politik permusuhan dua wilayah Borneo itu dengan kerajaan Persekutuan.
” Kami mempunyai hak ke atas tuntutan nisbah kerusi Parlimen kerana ia memang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tertulis dalam lipatan sejarah ketika pembentukan Malaysia.
” Tidak timbul siapa Perdana Menteri mengumumkan penambahan nisbah kerusi melibatkan pindahan Perlembagaan itu kerana blok Borneo sudah sekian lama menuntut hak tersebut menerusi MA63.
” Parti politik di Sabah termasuk pembangkang menghormati semua parti politik bertapak di Semenanjung termasuk PAS, namun tindakan pemimpin parti itu mencampuri urusan politik Borneo tidak boleh diterima, ” tegasnya.
Menerusi kenyataan Ketua Penerangan PAS itu pada Isnin, Ahmad Fadhli dengan nada sinis memperkecilkan pemimpin wilayah Sabah dan Sarawak dengan ayat “jangan jatuh gaung bersama Anwar”.
Masiung menegur Ahli Parlimen Pasir Mas itu supaya menjaga integriti parti beliau dan jangan bertindak menghulurkan ‘tangan ghaib’ sebagai penghasut dalam urusan politik Borneo.
Menurut Wakil Rakyat Kuamut itu, pemimpin Sabah dan Sarawak matang membuat keputusan sendiri tanpa perlu campurtangan orang luar.
Menurut beliau, sikap taksub dalam politik PAS tidak mendapat tempat di Sabah dan Sarawak, kerana rakyat Borneo sudah terkenal dengan semangat perpaduan dan saling hormat-menghormati walaupun berlainan fahaman politik.
Masiung berkata, kelancangan Ahli Parlimen Pasir Mas itu dianggap mencabuli perpaduan politik Sabah dan Sarawak.
Sedangkan pemimpin kedua wilayah Borneo itu katanya, tidak pernah berbuat demikian kepada PAS.
