Pesta Kuih Bulan cerminkan kepelbagaian budaya Tenom

TENOM,: Sambutan Pesta Kuih Bulan dan Pesta Tanglung di Tenom mencerminkan keunikan serta kepelbagaian budaya dan agama masyarakat di daerah itu, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau yang juga ADUN Melalap berkata, sambutan anjuran Gabungan Persatuan Komuniti Cina Daerah Tenom itu turut mendapat penyertaan ramai remaja, pelajar sekolah, ibu bapa dan peniaga.

Katanya, apa yang menarik ialah penyertaan masyarakat pelbagai agama termasuk masyarakat Muslim dalam perarakan tanglung dan acara berkaitan.

“Ini kelebihan dan keunikan di Tenom di mana kita meraikan kepelbagaian perayaan tidak mengira agama. Sama-sama kita meraikan.

“Selalunya Hari Raya pun mereka sama-sama meraikan, acara-acara Krismas pun mereka turut meraikan. Inilah kepelbagaian budaya dan anutan agama di Tenom yang harus kita pupuk dan semangatkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu kelmarin. 

Jamawi berkata, beliau bersyukur kerana budaya berkenaan semakin subur dan berkembang di Tenom.

Beliau berkata, kementeriannya juga sebelum ini mengemukakan lapan cadangan kepada Kementerian Kewangan, dengan lima daripadanya telah diluluskan.

Katanya, antara yang diluluskan sebelum ini ialah peningkatan jumlah diesel daripada 300 kepada 400 liter bagi setiap penerima serta pertukaran nama antara ahli keluarga.

“Baru-baru ini Perdana Menteri  mengumumkan lagi beberapa penambahan yang kita perlukan,” katanya.

Menurutnya, antara penambahan itu ialah membenarkan sambung bayar pinjaman kenderaan tanpa mengira pertalian persaudaraan.

Selain itu, katanya, sekiranya seseorang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel, kuota yang ada boleh dipindahkan kepada rakan atau saudara lain supaya kuota berkenaan tidak lupus begitu sahaja.

Dalam sektor pertanian pula, katanya, Kementerian Kewangan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan meluluskan permintaan untuk menyediakan insentif secara bulanan kepada peneroka, pekebun, petani dan golongan berkaitan sebanyak RM400 sebulan di bawah Agromadani.

“Tidak kira mereka ada kenderaan diesel, petrol ataupun apa-apa saja. Tidak kira, tetapi mereka ini kalau disahkan oleh agensi di bawah Kementerian Pertanian di negeri Sabah, mereka layak,” katanya.

Jamawi berkata, beliau baru-baru ini mengarahkan supaya program jelajah atau roadshow diadakan kerana sebahagian petani masih tidak memahami kaedah permohonan secara dalam talian.

Katanya, lebih 2,000 petani dan peneroka baru-baru ini berkumpul dan membuat permohonan secara dalam talian.

“Pada bulan ini, sekiranya disahkan, bulan depan mereka akan mendapat bantuan tunai RM400 tersebut,” katanya.

Beliau berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban petani dan peneroka yang mungkin terkesan akibat peningkatan kos sara hidup, termasuk mereka yang tidak mempunyai kenderaan diesel atau petrol.

Katanya, bantuan itu adalah hasil daripada penjimatan diesel atau petrol yang dilaksanakan kerajaan.

“Saya ucap banyak terima kasih kepada Menteri Kewangan kerana membela nasib petani, penternak, nelayan dan juga peneroka di Sabah hasil daripada perbincangan yang telah kita laksanakan sejak Jun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan industri getah, Jamawi berkata, kenaikan harga getah ketika ini perlu dimanfaatkan sebagai rezeki dan inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil serta pendapatan penoreh getah di Sabah.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan penjual supaya tidak mencampurkan batu atau bahan asing yang boleh menjejaskan harga getah pada masa akan datang.

“Saya dapat laporan apabila harga semakin naik, ada pelbagai teknik yang digunakan. Satunya merendam, keduanya mengisi air, ketiganya meletakkan batu dan juga besi,” katanya.

Beliau berkata, tindakan akan diambil terhadap kawasan atau pembelian yang didapati menggunakan teknik sedemikian, termasuk menghentikan pembelian sementara siasatan menyeluruh dijalankan.

Katanya, bahan asing seperti batu dan besi bukan sahaja merugikan pembeli tetapi turut boleh merosakkan jentera di kilang pemprosesan.

“Saya minta supaya kita jangan disebabkan kita menyebabkan rakan-rakan yang lain terjejas.

“Kita telah menguatkuasakan supaya mana-mana kawasan ataupun pembelian yang mempunyai teknik-teknik seperti ini kita berhentikan dulu pembeliannya, kita buat siasatan menyeluruh dan sebagainya supaya ia tidak berulang,” katanya.

Jamawi berkata, peningkatan harga getah perlu dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan pendapatan penoreh, bukannya digunakan untuk melakukan perbuatan yang akhirnya merugikan pihak lain.

Beliau berkata, pelbagai cadangan telah diterima daripada penoreh getah untuk meningkatkan pendapatan mereka, namun langkah konkrit perlu dilaksanakan.

“Langkah konkrit adalah untuk memproses macam mana pun hasil getah yang kita keluarkan di negeri Sabah, kita proses menjadi bahan-bahan yang digunakan secara menyeluruh.

“Maka barulah hasil dan juga harga getah akan dapat kita naikkan sesuai dengan keseluruhan rakyat dan juga penoreh getah di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Jamawi melahirkan kekecewaan berhubung kejadian wayar sistem pengairan sawah padi yang telah dipotong dan dicuri, selepas usaha membaiki sistem berkenaan dilakukan.

Katanya, beliau turun padang ke kawasan itu kira-kira tiga bulan lalu dan mendapati kawasan berkenaan sudah sekitar lapan hingga 10 tahun tidak dapat menanam padi akibat kerosakan pam dan sistem pengairan.

“Saya telah meluluskan sedikit peruntukan untuk Jabatan Pengairan dan Saliran menambah baik dan membeli pam-pam yang baharu serta menyusun atur semula sistem pengairan.

“Bila telah siap, diuji dan sebagainya, ia memberi kelegaan kepada petani-petani untuk mencucuk tanam padi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, wayar sistem berkenaan dipotong dan dicuri baru-baru ini.

“Ini satu peristiwa yang saya rasa amat-amat mengecewakan saya,” katanya.

Beliau meminta masyarakat kampung di sekitar kawasan berkenaan menyalurkan sebarang maklumat mengenai kejadian itu kepada pihaknya dan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Kita tidak mahu kita bertindak, kemudian kita buat penambahbaikan, dicuri lagi. Jadi sampai bila perkara ini akan terus berlaku?” katanya.

Jamawi berkata, kesedaran sivik serta tanggungjawab menjaga harta awam perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut meminta polis memberi perhatian kepada premis pembelian besi buruk dan wayar bagi memastikan tiada pihak membeli harta awam yang dicuri.

Katanya, beliau telah meminta pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan menyenarai hitam pihak yang membeli hasil daripada aktiviti mencuri harta awam.

“Kalau mereka membeli harta-harta awam sedemikian, kita tutup. Kita ambil langkah drastik. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles