Tambunan wajar dipertimbangkan sebagai satu Parlimen dengan dua DUN – Victor P Paut

KOTA KINABALU:  Daerah Tambunan wajar diberi pertimbangan serius dalam sebarang kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya pada masa akan datang, kata Penyelaras DUN Tambunan, Dato’ Victor P. Paut .

Menurutnya, ini termasuk cadangan supaya Tambunan mempunyai satu kawasan Parlimen dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Cadangan ini bukan dibuat tanpa asas. Ia perlu dilihat berdasarkan perkembangan jumlah penduduk, jumlah pemilih, keluasan kawasan, keadaan geografi serta keperluan perkhidmatan dan perwakilan masyarakat di Tambunan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mendakwa berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk daerah Tambunan dianggarkan meningkat daripada 31,600 orang pada tahun 2020 kepada 33,700 orang pada tahun 2025. 

“Pertumbuhan ini menunjukkan bahawa jumlah penduduk Tambunan terus berkembang dan keperluan masyarakat juga semakin meningkat. 

Dari sudut pilihan raya pula, statistik rasmi SPR sehingga Jun 2025 menunjukkan P.180 Keningau mempunyai 92,756 pemilih berdaftar. P.180 ketika ini merangkumi kawasan Tambunan, Bingkor dan Liawan,” ujarnya lagi.

Beliau turut berpendapat bahawa angka berkenaan perlu dilihat bersama keadaan geografi kawasan di mana Tambunan merupakan sebuah daerah yang mempunyai penempatan kampung yang berselerak serta bentuk muka bumi yang berbukit dan bergunung-ganang. 

Keadaan ini, katanya memberikan cabaran tersendiri dari segi perhubungan, penyampaian perkhidmatan kerajaan dan akses rakyat kepada wakil rakyat.

“Dalam menentukan persempadanan kawasan pilihan raya, jumlah penduduk dan pemilih bukan satu-satunya perkara yang perlu dilihat. 

Faktor seperti hubungan tempatan, kemudahan pentadbiran serta kesukaran perhubungan dan pengangkutan juga merupakan perkara yang relevan dalam proses persempadanan.

Oleh sebab itu, saya berpandangan bahawa keadaan Tambunan perlu dinilai secara menyeluruh dan bukan sekadar berdasarkan angka pemilih semata-mata,” jelasnya.

Tambunan mempunyai identiti daerah yang tersendiri, kawasan pentadbiran yang luas serta masyarakat yang mempunyai keperluan dan cabaran setempat yang berbeza.

Dengan perkembangan penduduk dan jumlah pemilih yang ada pada hari ini, sudah tiba masanya struktur perwakilan Tambunan dinilai semula supaya lebih selaras dengan keadaan semasa, katanya.

Menurut beliau, cadangan satu Parlimen dan dua DUN bagi Tambunan juga boleh membantu memastikan tumpuan terhadap pembangunan kawasan, penyampaian perkhidmatan kerajaan dan isu-isu masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih dekat dan berkesan.

“Saya tidak mengatakan bahawa pertambahan kerusi perlu dibuat hanya kerana jumlah penduduk meningkat. 

Sebaliknya, saya menyeru supaya data terkini SPR, DOSM serta keadaan sebenar di lapangan digunakan dalam menilai sama ada struktur kawasan pilihan raya sedia ada masih sesuai dengan perkembangan Tambunan.”

“Tambunan tidak seharusnya hanya dilihat berdasarkan jumlah penduduk, tetapi juga berdasarkan keluasan kawasan, keadaan muka bumi, taburan penempatan, jumlah pemilih, akses perhubungan dan keperluan rakyat.

Justeru, saya menyeru agar apabila kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya Sabah dilaksanakan kelak, Tambunan diberikan pertimbangan khusus untuk diwujudkan sebagai satu kawasan Parlimen dengan dua kawasan DUN,” jelas beliau lagi.

Menurut Victor, perkara ini bukan semata-mata tentang soal menambah kerusi tetapi ini adalah untuk memastikan rakyat Tambunan mendapat struktur perwakilan yang sepadan dengan realiti dan keperluan mereka pada hari ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles