YPNM Sabah harap perwakilan Sabah, Sarawak lebih seimbang : David

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah mahu Sabah dan Sarawak secara bersama diberikan satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen bagi memastikan perwakilan kedua-dua wilayah itu lebih adil dan seimbang.

Pengerusinya, David Chan, berkata cadangan itu selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penting bagi memperkukuh suara Sabah serta Sarawak dalam menentukan dasar dan hala tuju negara.

Beliau berkata, YPNM Sabah menyambut baik inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meneruskan usaha memperkukuh pelaksanaan MA63, termasuk berkaitan perwakilan Parlimen.

“Peningkatan kerusi Parlimen bukan semata-mata mengenai kuota politik, sebaliknya berkaitan hak rakyat Sabah dan Sarawak untuk mendapat perwakilan sewajarnya, pembangunan seimbang serta pengagihan sumber negara yang lebih adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

David berkata, Sabah dan Sarawak masih berdepan jurang pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan penambahbaikan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, telekomunikasi, kesihatan serta pendidikan.

Katanya, perwakilan lebih kukuh di Parlimen akan membantu memastikan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak diberikan perhatian sewajarnya dalam perancangan pembangunan, Belanjawan Negara dan penggubalan dasar Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber semula jadi serta memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, masih terdapat jurang pembangunan yang perlu ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, YPNM Sabah menyeru Jemaah Menteri, Parlimen dan semua pihak berkaitan supaya memberi pertimbangan serius terhadap matlamat satu pertiga perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

David berharap komitmen terhadap MA63 tidak hanya kekal sebagai cadangan, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan perlembagaan dan perundangan yang sewajarnya.

“Sabah dan Sarawak yang lebih maju dan kuat akan menjadikan Malaysia lebih maju, kuat dan bersatu,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles