KOTA KINABALU: Mendaftarkan dua anak serentak ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) mungkin menjadi pengalaman mencabar bagi sesetengah ibu bapa, namun tidak bagi aktivis masyarakat Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto.
Beliau menyifatkan kelancaran proses pendaftaran pelajar baharu UMS bagi sesi akademik 2026/2027 pada Sabtu sebagai pengalaman cukup melegakan apabila semuanya berjalan teratur, lancar dan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Mohd. Zaki berkata, kelancaran urusan itu jelas membuktikan kematangan UMS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sudah berdekad lamanya berpengalaman dalam menguruskan kemasukan pelajar baharu.
“Alhamdulillah, saya sendiri mendaftarkan dua orang anak serentak hari ini dan apa yang saya lihat adalah satu sistem pengurusan yang cukup baik.
“Prosesnya teratur, petugas memberikan layanan yang mesra dan segala urusan dapat dilakukan dengan lancar. Lebih penting, tiada sebarang insiden kurang baik berlaku sepanjang proses pendaftaran,” katanya.
Menurutnya, kejayaan mengendalikan hari pendaftaran dengan baik bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pengalaman, perancangan rapi dan kerjasama seluruh warga universiti.
Beliau berkata, profesionalisme pengurusan tertinggi UMS, khususnya Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Hj. Kassim Mansur, bersama pasukannya turut menjadi antara faktor penting dalam memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Apabila sesebuah organisasi mempunyai kepimpinan yang baik dan pasukan yang memahami tanggungjawab masing-masing, hasilnya dapat dilihat di lapangan.
“Saya percaya kelancaran hari ini adalah hasil koordinasi yang baik daripada pihak pengurusan tertinggi sehingga kepada petugas yang berada di barisan hadapan,” katanya.
Mohd. Zaki berkata, layanan mesra dan sikap prihatin warga UMS terhadap pelajar serta ibu bapa juga memberikan gambaran positif mengenai budaya kerja universiti berkenaan.
Katanya, hari pertama memasuki universiti adalah detik penting bukan sahaja kepada pelajar, malah ibu bapa yang menyerahkan anak mereka untuk memulakan fasa baharu dalam kehidupan.
“Sebagai ibu bapa, tentunya kami mahu melihat anak-anak berada dalam persekitaran yang baik dan menerima perhatian sewajarnya.
“Apabila kami hadir dan disambut dengan layanan yang mesra serta dibantu sepanjang proses pendaftaran, ia memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada di tempat yang baik,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Datuk Dr. Hj. Kassim Mansur, barisan pengurusan serta seluruh warga UMS atas komitmen menjayakan proses pendaftaran pelajar baharu.
“Terima kasih kepada seluruh warga UMS yang bertugas. Saya percaya penghargaan ini turut dikongsi oleh ramai ibu bapa yang hadir hari ini dan merasai sendiri layanan baik serta profesional daripada warga universiti.
“Semoga budaya kerja yang mesra, cekap dan profesional ini terus dikekalkan serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut Mohd. Zaki, kelancaran hari pendaftaran itu juga menjadi cerminan kemampuan UMS sebagai institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kebanggaan Sabah dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar dan masyarakat.
Beliau berharap kecemerlangan dalam aspek pengurusan dapat terus diperkasakan seiring usaha UMS melahirkan modal insan berkualiti serta generasi masa depan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara.
