TAWAU: “Nama anak saya Sammie Liew, bukan Sherlin Liew Zi Ling.”
Itu penegasan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah selepas namanya dan keluarga dikaitkan di media sosial dengan seorang tertuduh dalam kes pengedaran 659.16 gram MDMA atau ekstasi di Tawau.
Liew mendakwa tuduhan kononnya Sherlin Liew Zi Ling adalah anaknya sebagai satu fitnah besar yang menjejaskan reputasi keluarga serta parti.
“Kami akan buat laporan polis terhadap fitnah yang dilemparkan ini sehingga menjejaskan reputasi saya serta PHRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden GRS berkata, sejak beberapa hari lalu terdapat hantaran media sosial yang cuba mengaitkan tertuduh berkenaan dengan anaknya.
Liew menegaskan anaknya tidak pernah terbabit dalam kes itu dan berharap tindakan diambil terhadap pihak yang sengaja menyebarkan dakwaan berkenaan.
Terdahulu, enam individu didakwa secara bersama di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan mengedar 659.16 gram MDMA atau ekstasi di sebuah rumah inap mewah di Taman Nordin, Jalan Kuhara pada kira-kira jam 4.30 pagi, 26 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
