PENCEMARAN UDARA: UTAMAKAN KESIHATAN, KURANGKAN AKTIVITI LUAR

Kenyataan Media YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah

KOTA KINABALU: Saya mengambil maklum perkembangan kualiti udara di beberapa kawasan di Sabah yang terjejas susulan keadaan jerebu ketika ini.

Berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, keadaan ini antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang dibawa oleh tiupan angin ke wilayah Borneo, termasuk Sabah.

Berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan JAS, beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu telah mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat. 

Keadaan ini perlu diberikan perhatian serius khususnya, memandangkan bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin.

Saya ingin menasihatkan orang ramai, khususnya kanak-kanak, golongan belia, warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan, supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti di luar rumah sekiranya kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Dalam konteks aktiviti sukan dan rekreasi, saya turut menyeru persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program supaya sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing serta membuat penyesuaian sewajarnya terhadap latihan atau aktiviti luar. Kesihatan dan keselamatan atlet, pemain serta peserta hendaklah menjadi keutamaan.

Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup yang bersesuaian.

Saya juga menyeru seluruh masyarakat agar tidak melakukan sebarang pembakaran

terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara. 

Sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus mengikuti perkembangan semasa.

Saya percaya Jabatan Alam Sekitar serta agensi-agensi berkenaan sedang mengambil

langkah sewajarnya termasuk meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan.

Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama, mengikuti nasihat pihak berkuasa dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU melalui saluran rasmi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles