SANDAKAN : Semangat merdeka perlu terus disemarakkan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia tanpa mengira masa.
Ahli Dewan Negeri Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa, berkata, dalam masa yang sama kepentingan menghargai keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati hari ini juga perlu terus dihayati.
Jelasnya, kemerdekaan yang dicapai juga bukan sesuatu yang mudah tetapi wujud daripada perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu.
Beliau yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat di pejabatnya pada Jumaat.
Justeru katanya, sambutan hari kemerdekaan, kebangsaan dan Hari Sabah wajar diraikan dalam mengingati sejarah yang tercatat di negara dan negeri ini.
Jelasnya, bagi kawasan beliau sendiri, beberapa acara berkaitan diadakan dalam sama-sama menyemafakkan lagi sambutan itu.
“Kita juga menggalakkan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai tanda semangat serta kebanggaan kita terhadap negara dan negeri tercinta,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak mengambil mudah nikmat keamanan yang dikecapi, sebaliknya terus memupuk semangat cintakan negara dan negeri.
Katanya, sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah wajar dijadikan platform untuk mengukuhkan perpaduan serta menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.
