Semua jentera wanita GRS diseru siap sedia hadapi PRU – Azizah

TAWAU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun mahu semua jentera wanita diperingkat akar umbi menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan besar GRS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau menegaskan adalah penting bagi ahli parti khususnya di peringkat akar umbi turun padang dan membantu GRS menghadapi PRU16 tanpa mengira calon-calon yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan parti.

“Sasaran kita sekurang-kurangnya 15 kerusi. Di Tawau, kita ada dua kerusi iaitu Parlimen Tawau dan juga Parlimen Kalabakan. Kita mahu memastikan suara Sabah itu kuat di peringkat nasional. Itu yang penting.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wanita GRS Zon 6A Bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di sini, semalam.

Azizah berkata, gerak kerja parti bersama rakyat tidak seharusnya hanya dilakukan ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Kerja bersama rakyat ini bukan semasa kita berhadapan dengan rakyat saja ataupun semasa kempen, tetapi sepanjang masa. Hari ini saya nasihatkan mereka untuk terus bekerja di kedua-dua kawasan Parlimen itu,” katanya.

Mengulas mengenai calon wanita GRS yang bakal diketengahkan pada PRU akan datang, beliau berkata keputusan mengenai calon adalah hak pucuk pimpinan parti dan tidak menetapkan kuota tertentu setakat ini.

Katanya, keutamaan GRS adalah memilih calon yang mempunyai potensi untuk menang serta mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik.

“Seboleh-bolehnya kita ada calon daripada wanita. Tetapi yang penting adalah kita mahu menang.

“Kalau di mana-mana kawasan ada wanita kita yang berpotensi untuk menang, maka kita akan sokong mereka untuk bertanding. Tetapi kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanya.

Azizah menegaskan calon wanita juga wajar dinilai berdasarkan kriteria sama seperti calon lelaki, termasuk keupayaan untuk menang, menjalankan tugas sebagai wakil rakyat serta sumbangan kepada parti.

“Wanita kita semua ini boleh. Apa bezanya? Bukan ada kekurangan.

“Kalau memang kawasan itu layak ada wanita yang berpotensi, berkemampuan untuk menang dan memenuhi kriteria untuk menjadi seorang pemimpin, seorang wakil rakyat, kenapa tidak?

“Jangan menolak calon wanita yang berpotensi. Kalau mereka ada potensi, maka berilah mereka peluang untuk bertanding,” katanya.

Menurutnya, GRS mempunyai barisan wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang pendidikan, perniagaan dan pelbagai industri yang mempunyai pengalaman serta keupayaan untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

Katanya, wakil rakyat wanita yang terpilih juga perlu mempunyai keupayaan menyampaikan pandangan secara berkesan memandangkan Parlimen merupakan institusi yang mewakili kepentingan negara.

Sementara itu, Azizah berkata matlamat utama Wanita GRS adalah membantu memastikan kemenangan parti bagi mengukuhkan suara Sabah di peringkat nasional.

“Apa yang kita mahu perjuangkan untuk Sabah ini, kita akan capai. Ada banyak lagi yang perlu kita perjuangkan untuk Sabah dan apa yang masih diperlukan oleh rakyat kita di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata antara perkara yang perlu terus diberi perhatian termasuk usaha menangani kemiskinan, meningkatkan pembangunan dan peruntukan, memperluas akses kemudahan serta memperkukuh sektor pendidikan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles