MAFFI sambut baik tindakan terhadap import ayam sejuk beku tidak sah

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhubung kegiatan import ayam sejuk beku secara tidak sah di Sabah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tindakan itu selari dengan arahannya ketika mengadakan lawatan ke Pelabuhan Sepanggar pada 19 Julai lalu.

“MAFFI mengambil perhatian serius akan perkara ini dan akan beri kerjasama penuh,” katanya ketika mengulas laporan mengenai penahanan tiga individu serta rampasan 10 kontena ayam sejuk beku yang dipercayai diimport secara tidak sah dari China.

Menurut laporan, 10 kontena berisi ayam sejuk beku itu disita dalam operasi yang dilancarkan SPRM menerusi Ops Chick di pelabuhan di Sabah pada 11 Ogos.

Jamawi turut menasihatkan semua pihak yang ingin mengimport produk makanan supaya mendapatkan permit import secara sah dan mematuhi prosedur ditetapkan.

“Saya nasihatkan kepada semua supaya memohon permit import secara sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM sebelum ini dilaporkan melancarkan Ops Chick dengan kerjasama AKPS dan JKDM, dengan tiga lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an yang dipercayai berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Siasatan awal mendapati 10 kontena berkenaan, yang diimport dari China, diisytiharkan secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan.

SPRM turut sedang mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles