KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan pewujudan Pusat Pentadbiran Kampung secara berperingkat di seluruh Sabah bagi memperkukuh sistem pentadbiran di peringkat akar umbi.
Berucap semasa berbahas Rang Undang-Undang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Khamis, Madius berkata Ketua Kampung yang berada paling hampir dengan rakyat lazimnya tidak mempunyai pejabat rasmi untuk menjalankan urusan pentadbiran kampung.
“Hari ini Ketua Daerah mempunyai pejabat, Ketua Anak Negeri juga mempunyai pejabat, tetapi Ketua Kampung yang berada paling hampir dengan rakyat lazimnya tidak mempunyai pejabat rasmi untuk menjalankan urusan pentadbiran kampung.
“Akibat daripada itu, banyak urusan pentadbiran kampung masih dijalankan dari rumah persendirian Ketua Kampung sehingga menyukarkan penyimpanan dan penyerahan rekod apabila berlaku pertukaran jawatan,” katanya.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata Pusat Pentadbiran Kampung yang dicadangkan itu boleh menempatkan Pejabat Ketua Kampung, Pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ruang penyimpanan rekod rasmi, Kamar Bicara Mahkamah Anak Negeri serta Bilik Gerakan Pembangunan Kampung untuk menyelaras program dan projek kerajaan.
Jika Kerajaan Persekutuan mempunyai Putrajaya, jelasnya Kerajaan Negeri mempunyai Pusat Pentadbiran Negeri, dan setiap daerah mempunyai Pejabat Daerah, maka kampung juga sewajarnya mempunyai Pusat Pentadbiran Kampung.
“Dengan adanya pusat seperti ini, pentadbiran kampung akan menjadi lebih sistematik, lebih telus, lebih cekap dan lebih profesional.
“Di sinilah pentadbiran dijalankan, pembangunan diselaraskan, rekod dipelihara dan perpaduan masyarakat diperkukuhkan.
“Inilah satu pelaburan institusi yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” tambah Madius lagi.
