KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri boleh menggunakan apa sahaja istilah untuk mempertahankan keputusan menukar RM200 juta Deposit Tetap (Fixed Deposit) Kerajaan kepada Redeemable Preference Shares (RPS) dalam Sabah Development Bank (SDB).
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang merangkap Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata istilah tidak mengubah hakikat amalan itu.
“RM200 juta itu adalah wang rakyat dan sebagai deposit, wang itu merupakan aset Kerajaan yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan pembangunan.
“Hari ini, Kerajaan memilih untuk menukarnya menjadi modal bagi memperkukuhkan SDB.
“Mengapa SDB memerlukan tambahan modal sedangkan ia sudah dimiliki 100 peratus oleh Kerajaan Negeri? katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shafie, SDB ditubuhkan sebagai sebuah bank pembangunan untuk membantu membiayai pembangunan Sabah dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
“Namun hari ini, SDB lebih berfungsi seperti sebuah bank komersial. Jika begitu, mengapa wang rakyat sekali lagi diperlukan untuk memperkukuhkannya
“Lebih membimbangkan, ini bukan kali pertama Kerajaan menggunakan wang awam untuk menangani isu melibatkan syarikat milik Kerajaan,” katanya.
Sebelum ini pada Oktober 2023, beliau berkata rakyat diminta menerima penstrukturan Sabah International Petroleum (SIP).
“Ketika itu, hutang SIP kepada SDB berjumlah kira-kira RM1.269 bilion dan penyelesaiannya melibatkan penerbitan Sukuk RM900 juta oleh SMJ Energy.
“Hari ini, Kerajaan pula mahu memperkukuhkan modal SDB dengan RM200 juta wang rakyat.
“Persoalannya ialah mengapa masalah yang melibatkan GLC milik Kerajaan terus memerlukan campur tangan kewangan Kerajaan.
“Mengapa perkara seperti ini terus berulang? katanya.
Oleh itu, Shafie berkata kerajaan perlu menjelaskan mengapa masalah seperti itu terus berulang dan apakah jaminan bahawa selepas SIP dan SDB, rakyat tidak akan sekali lagi diminta menggunakan wang mereka untuk menangani masalah GLC yang seterusnya.
“Ketika rakyat Sabah masih bergelut dengan gangguan bekalan air, bekalan elektrik yang tidak stabil, jalan raya yang uzur, peluang pekerjaan yang terhad dan kos sara hidup yang semakin meningkat, Kerajaan memilih untuk mengikat RM200 juta wang rakyat dalam sebuah GLC.13.
“Bagi saya, ukuran kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah sejauh mana ia menjaga GLC, tetapi sejauh mana ia membela rakyat,” katanya.
Sementara itu, kerajaan Sabah menolak dakwaan Shafie bahawa penukaran deposit tetap sedia ada kerajaan negeri sebanyak RM200 juta di Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (RPS) merupakan suatu tindakan ‘bailout’.
Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd Ishak Ayub menjelaskan kerajaan tidak menyuntik dana baharu ke dalam SDBank kerana wang berjumlah RM200 juta itu sememangnya telah didepositkan di bank berkenaan.
