TUARAN: Seramai lebih 300 atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan warga pendidikan Daerah Tuaran menghadiri Program Lonjak Juara Tuaran 2026 – Majlis Amanat, Suntikan Motivasi dan Penyerahan Bendera Kontinjen Sukan Daerah Tuaran yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Terbuka Bangunan Rumpun Bajausama Lok Batik Tuaran.
Program yang bertemakan “Bangkit Berjuang, Melakar Kejayaan” itu merupakan inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran melalui Sektor Pembangunan Murid dan Unit Pembangunan Bakat Murid dengan kerjasama Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) Cawangan Tuaran bagi menyuntik semangat, membina keyakinan serta memperkukuhkan jati diri atlet sebelum menghadapi Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) 2026.
Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Mohammad Ghazali bin Hajiji, Setiausaha Politik kepada YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Penasihat Persatuan Permuafakatan Pendidikan Daerah Tuaran.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berbahagia Encik Mohd Hanim Mohd Goos, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Sektor Pembangunan Murid merangkap Timbalan Ketua Kontinjen Daerah Tuaran; Yang Berbahagia Encik Murkam bin Haji Hussien, Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS); Yang Berbahagia Encik Muhd. Arziz Afizy bin Rumsani, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Sukan Sabah, Pengurus Sabah FC merangkap Timbalan Pengerusi Persatuan Permuafakatan Pendidikan Daerah Tuaran; serta Yang Berbahagia Encik Mohd Rohzan bin Mohd Jaafar, Guru Besar SK Rugading Tuaran, Pengurus Kontinjen Boling Tenpin Daerah Tuaran merangkap Pengurus Program Lonjak Juara Tuaran 2026.
Majlis turut dihadiri oleh barisan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, guru-guru besar, pengetua sekolah, pengurus-pengurus pasukan, jurulatih, guru pengiring, atlet kontinjen Daerah Tuaran, wakil media serta para jemputan.
Dalam ucapan perasmiannya, Mohammad Ghazali menekankan bahawa kejayaan seorang atlet bukan sahaja diukur melalui pingat yang dimenangi, malah melalui disiplin, integriti, semangat juang dan kesungguhan dalam menghadapi setiap cabaran.
Beliau turut mengajak seluruh atlet menjadikan suasana Piala Dunia FIFA 2026 sebagai inspirasi bahawa kejayaan besar lahir daripada latihan yang konsisten, semangat berpasukan dan keyakinan terhadap kemampuan diri.
Sebagai simbol sokongan kepada pembangunan sukan di Daerah Tuaran, beliau turut menyempurnakan Penyerahan Bendera Kontinjen kepada setiap pengurus pasukan serta menyampaikan sumbangan kewangan kepada setiap kontinjen yang bakal membawa cabaran Daerah Tuaran ke kejohanan peringkat negeri. Sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu persiapan kontinjen dan menjadi pembakar semangat kepada atlet untuk memberikan persembahan terbaik.
Program turut diserikan dengan Sesi “Inspirasi Juara” yang disampaikan oleh YBhg. Encik Muhd. Arziz Afizy bin Rumsani. Beliau berkongsi pengalaman membangunkan pasukan Sabah FC, cabaran mengurus atlet profesional serta kepentingan disiplin, pendidikan dan kerja berpasukan dalam mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Perkongsian tersebut mendapat perhatian dan sambutan yang amat positif daripada para atlet dan guru pengiring.
Selain itu, program tersebut turut diisi dengan gimik pelancaran Program Lonjak Juara Tuaran 2026, bacaan Ikrar Atlet dan Aku Janji Juara, tayangan montaj pencapaian atlet Daerah Tuaran, penyerahan bendera kontinjen, penyampaian cenderamata serta sesi bergambar rasmi “Hall of Champions” sebagai simbolik kesatuan dan iltizam seluruh kontinjen.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran bersama rakan strategik dalam memperkasa pembangunan bakat murid melalui sukan. Diharapkan segala pengisian yang telah disampaikan mampu meningkatkan motivasi, keyakinan serta semangat juang atlet sebelum mereka menyertai kejohanan yang bakal berlangsung di seluruh Sabah.
Jawatankuasa penganjur turut menyatakan hasrat agar Program Lonjak Juara Tuaran dapat dijadikan program tahunan rasmi Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran sebagai platform menghimpunkan seluruh kontinjen sebelum kejohanan peringkat negeri. Program ini bukan sahaja menjadi majlis pelepasan kontinjen, malah berfungsi sebagai wadah untuk menyemai budaya kecemerlangan, membina kepimpinan, memperkukuhkan kerjasama serta menyuntik inspirasi kepada atlet, jurulatih dan warga pendidikan.
Sementara itu, seluruh jawatankuasa pelaksana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Mohammad Ghazali bin Hajiji atas kesudian meluangkan masa untuk hadir menyempurnakan perasmian program, menyampaikan amanat yang penuh inspirasi serta menyalurkan sumbangan kewangan kepada setiap kontinjen.
Sokongan dan keprihatinan beliau terhadap pembangunan pendidikan dan sukan di Daerah Tuaran amat dihargai dan diyakini menjadi pemangkin kepada kejayaan atlet dalam mengharumkan nama Daerah Tuaran dan Negeri Sabah.
Dengan semangat “Bangkit Berjuang, Melakar Kejayaan”, seluruh Kontinjen Daerah Tuaran kini bersedia menggalas cabaran di Kejohanan MSS Sabah 2026 dengan iltizam untuk memberikan persembahan terbaik serta membawa pulang kejayaan demi daerah, negeri dan negara.
