KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyarankan supaya dipertimbangkan kuota wakil dari Sabah dan Sarawak dalam keanggotaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Beliau berkata ia penting dengan mengambil kira realiti geografi di Sabah dan Sarawak yang jauh berbeza daripada Semenanjung.
“Keadaan ini hanya difahami oleh anak-anak kelahiran negeri kami, anak-anak tempatan yang mengerti tentang dimensi geografi yang luar biasa unik dan tersendiri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahas Rang Undang-undang Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Sambil menyatakan pentingnya keseimbangan dan timbang-tara dalam keanggotaan suruhanjaya itu, Matbali berkata keanggotaan Sabah dan Sarawak dalam suruhanjaya itu bukan sekadar memenuhi prinsip keterangkuman, tetapi juga memperkayakan perspektif nasional.
“Negara yang kuat ialah negara yang mendengar semua suara, bukan hanya suara yang paling hampir dengan pusat pentadbiran,” katanya.
Matbali menyambut baik rang undang-undang itu dan menyifatkannya sebagai bertepatan dan wajar diberi sokongan.
“Pindaan ini membawa mesej yang jelas bahawa Kerajaan mahu memastikan MCMC terus relevan menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital dan perkembangan teknologi masa hadapan,” katanya.
