SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mahu masalah gangguan bekalan air di Sandakan yang sering berlaku diatasi dengan lebih baik sekaligus memastikan tiada isu berulang.
Jelasnya, setiap kali berlaku gangguan, jawapan yang diberikan hampir sama iaitu kerja-kerja penyelenggaraan paip sedang dijalankan.
Namun, tambah beliau, persoalannya, sampai bila perkara ini harus berlaku dan berulang.
“Adakah kita akan terus menggunakan alasan yang sama setiap kali paip pecah, setiap kali bekalan terganggu, setiap kali rakyat terpaksa menadah air dan menunggu lori tangki?” Ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ketika ini, Vivian berada di Kuala Lumpur dan menerima banyak panggilan serta mesej awam mengenai isu bekalan air di Sandakan.
Pasukan beliau juga telah memantau perkara itu.
Hakikatnya, sistem paip di Sandakan sudah terlalu uzur.
Dalam masa yang sama, pembangunan baharu terus diluluskan, kawasan perumahan semakin bertambah, tetapi infrastruktur bekalan air masih berada di takuk lama.
Soalnya, di manakah pelan induk kerajaan negeri?
Apakah rancangan sebenar untuk menggantikan paip-paip usang?
Bagaimana pula cara meningkatkan kapasiti agihan air dan menampung pertambahan penduduk serta pembangunan pada masa hadapan?
Ujarnya, jangan hanya bercakap mengenai lima tangki air yang sedang dibina di Sandakan.
“Selepas itu bagaimana?” Tambah Vivian.
Ujarnya, rakyat tidak perlukan penyelesaian sementara yang berulang-ulang.
“Tetap, apa yang rakyat perlukan ialah penyelesaian yang berani, menyeluruh dan berkekalan.” Tegasnya.
“Aadalah keperluan asas yang kita perlukan setiap hari dan adalah tidak wajar jika ia selalu mengalami masalah dari segi bekalan kerana pengguna akan sangat terkesan dengan isu ini.” Tambahnya.
Beliau berharap kerajaan negeri tampil dengan penyelesaian terbaik dan membentangkan pelan tindakan yang jelas untuk 5, 10 hingga 20 tahun akan datang agar masalah bekalan air tidak lagi berlaku pada masa kini dan seterusnya.
