TENOM: Hakisan tebing sungai yang semakin serius di Kampung Ulu Uloi di sini sehingga mengancam keselamatan sebuah kediaman penduduk mendapat perhatian Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar.
Isu itu dikenal pasti susulan laporan yang diterima daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) mengenai hakisan tebing sungai yang semakin kritikal berhampiran rumah milik Zubaidah Abd. Mazid.
Hakisan berkenaan dipercayai berpunca daripada banjir besar yang berlaku beberapa tahun lalu dan keadaan menjadi lebih buruk akibat kejadian banjir terbaru.
Sehubungan itu, Pegawai Khas Jamawi, Mohd. Nizam Ag. Kassim mewakili beliau mengadakan lawatan ke kediaman Zubaidah bagi meninjau keadaan sebenar di lokasi serta menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan.
Turut menyertai lawatan itu Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Azrie, Pemaju Mukim, Mimi Azerrah Musno, wakil PPM N.42 Melalap, Denesly Justin, Pengerusi JKKK Kampung Ulu Uloi, Jasri Johari serta Herryzan dan Carl Amo.
Menurut Jamawi, lawatan tersebut bertujuan menilai tahap kerosakan selain mendapatkan maklumat terperinci mengenai risiko yang dihadapi penduduk setempat.
Beliau berkata, perkara itu turut dikemukakan kepada Ketua JPS Tenom, Lahaman Dahing, supaya tindakan segera dapat diambil memandangkan tahap hakisan kini semakin kritikal dan berpotensi membahayakan keselamatan penduduk.
Katanya, tindakan pantas amat penting bagi mengelakkan risiko yang lebih besar kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terjejas.
Sementara itu, Jamawi berkata, beliau dimaklumkan bahawa pihak JPS akan memberi keutamaan terhadap kes berkenaan dan mengambil tindakan secepat mungkin.
“Alhamdulillah, Lahaman Dahing memaklumkan bahawa pihak JPS akan memberi keutamaan terhadap kes ini dan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk Kampung Ulu Uloi sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPS, pemimpin masyarakat dan semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari penyelesaian terhadap masalah hakisan tersebut.
Katanya, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat amat penting dalam memastikan setiap isu yang menjejaskan kesejahteraan rakyat dapat ditangani secara berkesan.
“Setiap aduan rakyat diberi perhatian dan disusuli dengan tindakan.
“Insya-Allah, usaha serta kerjasama erat antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan kawasan N.42 Melalap,” katanya.
Jamawi menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan kes berkenaan sehingga langkah penyelesaian yang sesuai dapat dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung.
