BUKIT GARAM: Keadaan hujan yang berterusan menyebabkan kebanyakan daerah di Sabah mengalami masalah banjir dimana Daerah Kinabatangan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Lamag tidak terkecuali dari menghadapi masalah serupa.
Walaupun keadaanya masih terkawal namun ianya sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan ini bukan sahaja tidak dapat keluar mencari rezeki ekoran faktor hujan dan banjir namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membatasi pergerakan mereka untuk keluar mencari rezeki.
Menyedari kesukaran ini Timbalan Ketua Menteri yang juga Wakil Rakyat kawasan Lamag Dato Sri Bung Moktar Radin (gambar )mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan bantuan segara bakul makananan kepada penduduk yang terjejas.
Sebanyak 300 bungkusan diagih-agihkan di beberapa buah kampung di kawasan itu khususnya mereka yang terjejas dengan masalah banjir.
Pengagihan sumbangan tersebut diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.58 Lamag yang diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Lamag Abu Bakar Gapar.
Menurut Abu Bakar UPPM menerima arahan Bung yang juga Menteri Kerja Raya untuk segara menghulurkan bantuan tersebut bertujuan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh penduduk yang terlibat.
“ Oleh kerana kita mematuhi arahan PKP,Bung sendiri tidak dapat turun padang melawat kawasan ketika ini, bagaimanapun dengan kerja sama dari semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) untuk menyelaras serta mengagih-agihkan bantuan ini telah menyegarakan bantuan sampai kepada penerima ” katanya ketika di hubungi di sini kemarin.
Menurut Abu Bakar beliau juga menerima aduan berhubung parit-parit yang tersumbat di beberapa buah kampung di kawasan tersebut dan tindakan susulan akan dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut yang sekurang-kurangnya boleh mengatasi rasiko banjir yang agak lama.
Sebelum itu Abu Bakar melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail di ibu pejabat Polis Daerah Kinabatangan bagi membincang isu-isu semasa terutamanya persediaan dari segi aspek keselamatan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar akan berlaku di daerah ini ekoran keadaan cuaca tidak menantu sejak akhir-akhir ini.