KESUMA diminta gariskan perancangan tangani isu pengangguran di Sabah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah meminta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggariskan perancangan ke arah mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.

Berucap membahas Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata kerajaan negeri melaksana pelbagai usaha bagi mendepani isu pengangguran ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah sedang giat menjalankan program padanan kerja dan jelajah pendidikan perburuhan di seluruh negeri. 

“Ini kerana cabaran utama sekarang adalah jurang antara kemahiran pencari kerja (khususnya belia dan graduan) dengan kehendak industri digital serta industri bernilai tinggi yang sedang berkembang di Sabah,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan pada Mei/Jun 2026, pasaran buruh di Sabah menunjukkan trend pemulihan yang positif. 

Katanya, kadar pengangguran di Sabah bagi Suku Tahun Pertama 2026 telah turun kepada 5.5 peratus berbanding 6.0 peratus pada Suku Keempat Tahun 2025.

“Meskipun kadar ini masih dikira tinggi jika dibandingkan dengan kadar purata nasional (sekitar 2.9 peratus), namun ia merupakan penurunan yang agak ketara bagi negeri Sabah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. 

“Misalnya pada tahun 2021 pasca pandemik, kadarnya berada di paras 8.2 peratus, kemudian turun kepada 7.6 peratus pada tahun 2024. 

“Manakala pada suku keempat tahun 2025, ia mencatat 6 peratus dan pada suku pertama tahun ini turun lagi kepada 5.5 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyokong penuh Rang Undang-Undang Sistem SIP kerana ia menjadi payung tempat berteduh bagi pekerja yang hilang pekerjaan.

Menurutnya, SIP yang diperkenalkan melalui PERKESO membuktikan bahawa kerajaan membiarkan pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Beliau percaya rang undang-undang itu dapat memperkukuh jaringan keselamatan sosial di negara ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles