GAGAL DISELUDUP KELUAR, MARITIM ZON SANDAKAN RAMPAS 1700 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI

SANDAKAN: Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Zon Sandakan berjaya merampas sebanyak 1700 paket minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Sandakan awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, rampasan tersebut dilakukan kira-kira jam 3.00 pagi hasil maklumat awam yang diterima mengenai sebuah perahu yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Jeti Nelayan Kampung Combo, Sandakan.

“Sepasukan anggota yang melaksanakan Op Sejahtera 1/2022, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0 telah diatur gerak ke lokasi bagi membuat pemeriksaan.

“Namun, sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, individu yang berada di atas perahu bertindak terjun dan melarikan diri ke kawasan bakau berhampiran,”katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati sebuah perahu berwarna hijau kuning bersama 100 bungkusan plastik hitam mengandungi paket minyak masak bersubsidi telah ditinggalkan.

Sebahagian daripada bungkusan tersebut turut ditemui terapung di permukaan laut dipercayai dibuang oleh suspek ketika cuba meloloskan diri.

Kesemua barang rampasan dianggarkan mengandungi kira-kira 1,700 paket minyak masak bersubsidi dan disyaki disimpan tanpa kebenaran yang sah.

Bot bersama barang rampasan dianggarkan bernilai sekitar RM 14,250.00 telah dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu yang terlibat.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim melalui Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles