Benih siakap, udang galah dilepaskan di Sungai Padas

TENOM: Sebanyak 1,000 benih ikan siakap dan 2,500 benih udang galah dilepaskan ke Sungai Padas berhampiran Jambatan Baharu Tenom dalam satu program yang diadakan petang kelmarin.

Sumbangan benih tersebut disalurkan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar yang juga ADUN Melalap, sebagai sebahagian daripada usaha memperkaya sumber perikanan sungai serta menyokong pembangunan kawasan rekreasi di daerah itu.

Pelepasan benih berkenaan diwakili oleh Pegawai Khas kepada Menteri, Mohd. Nizam Ag. Kassim, bersama Pegawai Perikanan Daerah Tenom, Francis Tikoi, serta kakitangan Jabatan Perikanan Daerah Tenom.

Turut hadir ialah Pemaju Mukim, Junaidi Juan yang mewakili Pusat Perkhidmatan Masyarakat (PPM) N.42 Melalap, selain wakil Team Nelayan Darat Tenom yang diketuai Fahmi bersama rakan-rakan mereka termasuk Amo, Herryzan, Enol dan Faisal.

Mohd. Nizam berkata, program pelepasan benih ikan dan udang itu merupakan antara inisiatif Jabatan Perikanan Daerah Tenom yang selaras dengan perancangan Datuk Jamawi untuk membangunkan kawasan sekitar Jambatan Baharu Tenom sebagai “Esplanade Tenom”.

“Bagi pihak Datuk Jamawi Jaafar, sebanyak 1,000 benih anak ikan siakap dan 2,500 benih anak udang galah telah disumbangkan untuk dilepaskan ke Sungai Padas.

“Program ini merupakan salah satu usaha Jabatan Perikanan Daerah Tenom yang seiring dengan perancangan beliau untuk menjadikan kawasan di Jambatan Baharu sebagai ‘Esplanade Tenom’ yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berharap benih-benih yang dilepaskan itu dapat membesar dengan baik dan terus membiak bagi menambah populasi ikan serta udang galah di Sungai Padas.

Menurutnya, usaha pemuliharaan dan penambahan sumber perikanan sungai itu bukan sahaja memberi manfaat kepada ekosistem, malah berpotensi menjadi tarikan rekreasi serta aktiviti perikanan darat pada masa hadapan.

“Semoga benih-benih anak ikan siakap dan udang galah ini membesar serta membiak dengan lebih banyak di Sungai Padas Tenom demi manfaat bersama,” katanya.

Program tersebut turut mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memelihara sumber perikanan tempatan serta menyokong agenda pembangunan berteraskan komuniti dan alam sekitar di daerah Tenom.

Dengan pelepasan benih berkenaan, Sungai Padas dijangka terus berperanan sebagai antara aset semula jadi penting yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial penduduk setempat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles