Madius Desak Jawapan Jelas Kerajaan Persetujuan Mengenai Persetujuan Sabah Dalam Pelaksanaan AKPS

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, mempersoalkan kegagalan Kerajaan Persekutuan memberikan jawapan yang jelas berhubung sama ada persetujuan rasmi Kerajaan Sabah telah diperoleh sebelum pelaksanaan dan perluasan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (AKPS) di Sabah.

Menurut beliau, persoalan yang dibangkitkan adalah mudah dan hanya memerlukan jawapan “YA” atau “TIDAK”, namun jawapan yang diberikan oleh Menteri tidak menjawab perkara pokok yang ditanyakan.

Madius berkata, beliau secara khusus meminta penjelasan sama ada Kerajaan Persekutuan telah memperoleh persetujuan (consent) daripada Kerajaan Sabah sebelum memperluaskan pelaksanaan AKPS di negeri itu.

Katanya, dalam jawapan yang diberikan, Menteri hanya memaklumkan bahawa Kerajaan Sabah telah dirujuk, memberikan ulasan, terlibat dalam sesi libat urus dan bersetuju menyerahkan sembilan pintu masuk kepada AKPS.

“Namun perkara pokok yang saya tanyakan masih tidak dijawab. Dirujuk bukan bererti diberi persetujuan. Libat urus bukan bererti consent. Mendapat pandangan bukan bererti mendapat kelulusan,” tegas beliau.

Menurut Madius, persoalan sebenar ialah sama ada Kerajaan Persekutuan telah memperoleh persetujuan rasmi sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan, khususnya apabila sesuatu tindakan melibatkan hak-hak istimewa dan autonomi Sabah yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.

Beliau turut melahirkan kebimbangan kerana jawapan Menteri tidak menyentuh langsung perkara-perkara penting termasuk Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan, persetujuan rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, persetujuan Kerajaan Negeri Sabah serta sebarang keputusan Kabinet Negeri yang memberikan kelulusan tersebut.

“Sekiranya consent telah diperoleh, mengapa begitu sukar untuk menyatakan ‘YA’? Sekiranya consent tidak diperoleh, mengapa tidak berani menjawab ‘TIDAK’?” katanya.

Madius menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak mengetahui kedudukan sebenar kerana isu berkenaan bukan berkaitan politik kepartian, sebaliknya melibatkan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan, semangat Malaysia Agreement 1963 serta hak dan autonomi Sabah.

Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen Tuaran, beliau akan terus menuntut jawapan yang jelas dan terus kepada pokok persoalan demi mempertahankan hak perlembagaan Sabah.

“Hak Sabah tidak boleh dipertahankan melalui andaian, tafsiran atau jawapan yang mengelak. Dalam perkara yang melibatkan hak perlembagaan negeri ini, rakyat Sabah berhak mendapat jawapan yang terang, jujur dan jelas.

“Persoalannya masih sama sehingga hari ini: Adakah consent Kerajaan Sabah telah diperoleh – YA atau TIDAK?” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles