PENYERAHAN KUASA KAWAL SELIA PELABUHAN BINTULU KEPADA SARAWAK ADALAH SITUASI “MENANG-MENANG” BAGI KERAJAAN SARAWAK DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

KOTA KINABALU: Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak merupakan antara pencapaian paling signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak pembentukan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata walaupun tuntutan itu telah diperjuangkan dan dirundingkan merentasi beberapa pentadbiran, penyelesaian perundangan dan pelaksanaannya akhirnya berjaya dimuktamadkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Langkah ini bukan sahaja mengiktiraf hak dan kedudukan Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia, malah membuktikan bahawa pelaksanaan MA63 boleh dilaksanakan dalam semangat kerjasama yang menghasilkan situasi menang-menang kepada Sarawak dan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapha yang juga anggota Parlimen Sepanggar berkata Sarawak memperoleh peranan yang lebih besar dalam pengurusan aset strategiknya, manakala Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan sebuah hab logistik, perindustrian dan tenaga hijau bertaraf dunia yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

Menurutnya kerajaan MADANI membuktikan komitmen terhadap pelaksanaan MA63 bukan sekadar melalui kenyataan, tetapi menerusi tindakan perundangan. 

“Kelulusan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2024 membuka lembaran baharu dalam hubungan Persekutuan dan Sarawak dengan memberikan peranan yang lebih besar kepada Sarawak dalam pengurusan aset strategik negeri,” katanya.

Dalam konteks tersebut, katanya transformasi Pelabuhan Bintulu perlu dilihat sebagai langkah strategik yang melangkaui kepentingan sebuah negeri semata-mata.

“Pelabuhan Bintulu bukan lagi sekadar hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara, tetapi sedang berkembang sebagai pusat perindustrian, logistik dan tenaga hijau yang bakal memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Malaysia dan rantau Asia Pasifik,” katanya.

Mustapha berkata usaha pemodenan yang sedang dilaksanakan merangkumi pendigitalan sistem operasi, penggunaan teknologi automasi serta peningkatan kecekapan pengurusan pelabuhan bagi memastikan Pelabuhan Bintulu kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan ekonomi global. 

Katanya langkah itu turut menyokong aspirasi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050 melalui amalan operasi yang lebih mampan dan mesra alam.

Kedudukan strategik Bintulu, ditambah dengan kelebihan Sarawak yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui khususnya hidroelektrik berskala besar, menjadikan kawasan ini semakin menarik kepada pelabur antarabangsa yang sedang beralih kepada operasi rendah karbon.

“Perkembangan ini berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab utama industri hijau, tenaga bersih dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini,” katanya.

“Pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dilihat sebagai kehilangan kuasa oleh Persekutuan, sebaliknya sebagai pengukuhan Persekutuan Malaysia melalui pengiktirafan terhadap hak, peranan dan potensi sebenar Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas negara.

“Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak pimpinan YAB Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan setiap kejayaan pembangunan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pelaburan, pembangunan infrastruktur moden dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata beliau.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles