Madius ketuai bacaan Ikrar Bebas Rasuah POIC Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengetuai Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah bagi seluruh warga kerja POIC Sabah di Ibu Pejabat Kumpulan POIC, di sini pada Jumaat.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, Datuk Timbalan Pesuruhjaya Mohd Fuad Bee Haji Basrah, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan POIC Sabah, Dato’ Dr. Janathan Kandok, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah, Datuk Fredian Gan, serta ahli-ahli Lembaga Pengarah POIC Sabah.

Dalam ucapan aluannya, Madius menegaskan bahawa ikrar yang dilafazkan membawa mesej yang sangat mendalam kerana ia adalah satu pernyataan yang lahir dari kesedaran dalaman bahawa rasuah merupakan musuh kepada kemajuan, keadilan, dan masa depan generasi yang akan datang.

“Integriti bukan sesuatu yang datang dengan sendirinya.

“Ia perlu dibina secara berterusan, diperkukuhkan melalui dasar dan prosedur yang jelas, dan dihidupkan melalui contoh teladan daripada setiap lapisan kepimpinan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan warga kerja POIC bahawa rasuah tidak semestinya berlaku dalam bentuk wang ringgit semata-mata, malah ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk lain seperti pemberian hadiah yang tidak wajar, penyalahgunaan maklumat sulit, atau sebarang tindakan yang memberikan kelebihan tidak adil kepada sesuatu pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli itu juga menggalakkan warga kerja agar berani tampil melaporkan sebarang perlakuan yang mencurigakan melalui saluran yang betul, sambil menegaskan bahawa melaporkan rasuah adalah tindakan berani yang mencerminkan kecintaan terhadap organisasi.

“Prinsip yang saya pegang adalah mudah, iaitu lakukan yang betul, walaupun tiada siapa yang melihat.

“Kerana pada akhirnya, integriti adalah tentang siapa kita sebenarnya apabila kita berseorangan,” tegasnya.

Terdahulu, warga POIC turut menerima taklimat bertajuk Liabiliti Korporat Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang disampaikan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah Penolong Kanan Pesuruhjaya Alexander S. Kunghi.

Hadir sama Pegawai Integriti Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Jennifer Christopher serta seluruh ketua-ketua jabatan dan kakitangan POIC Sabah Sdn Bhd.

Madius yang juga Ahli Parlimen P.170 Tuaran turut merakamkan penghargaan kepada pihak SPRM Sabah atas kerjasama dan perkongsian ilmu yang diberikan kepada POIC Sabah, serta berharap hubungan baik antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.

Sesi lafaz ikrar itu turut disusuli dengan Sesi Menandatangani Sijil Ikrar Bebas Rasuah oleh Madius bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah, Datuk Fredian Gan, yang disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Sabah, Mohd Fuad Bee.

Sijil tersebut kemudiannya diserahkan kepada Datuk Mohd Fuad Bee sebagai simbolik komitmen POIC Sabah terhadap amalan bebas rasuah dalam organisasi.

Tamat.

PENERANGAN GAMBAR

Gambar 1: Madius (depan) mengetuai bacaan ikrar bebas rasuah warga POIC Sabah di hadapan Pengarah SPRM Sabah yang turut dihadiri ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua-ketua Jabatan POIC Sabah.

Gambar 2 : Madius (duduk dua dari kanan) dan Fredian (tepi kanan) menandatangani dokumen Ikrar Bebas Rasuah sambil disaksikan Mohd Fuad (dua kiri). Turut kelihatan Jennifer (tepi kiri) dan barisan ahli-ahli Lembaga Pengarah POIC (berdiri di belakang).

Gambar 3 : Madius (tengah) dan Fredian (dua kanan) menyerahkan dokumen Ikrar Bebas Rasuah kepada Mohd Fuad (dua kiri) sambil disaksikan barisan ahli-ahli Lembaga Pengarah POIC (berdiri di belakang).

Related Articles

253FansLike

Latest Articles