KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menyifatkan penerimaan rasmi parti itu sebagai komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai langkah penting ke arah penyatuan parti-parti politik tempatan di negeri ini.
Beliau berkata, keputusan itu membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh perpaduan politik Sabah melalui gabungan parti-parti tempatan yang memperjuangkan kepentingan negeri.
“Semalam saya dimaklumkan penerimaan rasmi UPKO sebagai parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – gabungan parti-parti politik tempatan Sabah.
“Saya ucap terima kasih kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan semua anggota Majlis Tertinggi GRS yang menerima keanggotaan UPKO susulan permohonan kami pada 29 Mei 2026 lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ewon berkata, penyertaan UPKO dalam GRS mengembalikan parti itu ke tempat yang sewajarnya dalam landskap politik Sabah.
“Sebagai Presiden UPKO, saya bersukacita dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah.
“Ini mengembalikan semangat asal penubuhan negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana parti-parti politik Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu mempunyai gabungan wilayah masing-masing dan menandatangani perjanjian menubuhkan negara ini,” katanya.
Beliau berkata, semangat MA63 perlu terus dijadikan asas dalam memperjuangkan hak serta pembangunan Sabah kerana hanya parti-parti tempatan benar-benar memahami aspirasi rakyat negeri ini.
“Hanya parti-parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami citra Sabah dalam membangun masa depannya melalui apa yang telah dipersetujui dalam MA63.
“GRS adalah satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah, maka sepatutnya inilah rumah sebenar parti politik dari Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua parti politik tempatan dan rakyat Sabah untuk bersatu di bawah GRS bagi merealisasikan agenda Sabah First serta memperkukuh masa depan negeri.
“UPKO akan menyumbang kepada pengukuhan dan pemerkasaan GRS bagi memimpin, mentadbir dan membangunkan Sabah di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Mari semua rakyat Sabah, berpadu kita dalam gabungan parti tempatan kita sendiri – GRS untuk membina wawasan Sabah First, Sabah Prosper, Sabah United,” katanya.
