Oleh Sam
TAMBUNAN : Daerah ini turut terkesan dengan kekurangan kakitangan perubatan sejak sekianlama sehingga ke tahap yang agak kritikal.
Berdepan krisis kritikal kekurangan kakitangan perubatan ini, Sabah merekodkan keperluan sehingga 9,000 doktor berbanding hanya sekitar 2,800 yang bertugas ketika ini.
Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut berkata, masalah ini juga meruncing jumlah doktor pakar, di mana Sabah mengalami kekurangan lebih dari 6,000 pakar perubatan bagi menampung keperluan penduduk khususnya di luar bandar.
“Ketiadaan Pakar di Hospital Daerah juga turut terkesan dan pesakit yang memerlukan rawatan pakar (seperti pakar jantung atau neurologi) terutama di kawasan pedalaman sering terpaksa di rujuk ke fasiliti lebih besar di ibu negeri,” jelasnya selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang di Tambunan pada Sabtu.
Doktor sedia ada di hospital besar di ibu negeri katanya sering mengalami keletihan melampau (burnout) kerana terpaksa menanggung beban kerja yang jauh melebihi kapasiti sepatutnya, katanya lagi.
Kekurangan kakitangan perubatan ini menyebabkan pesakit terpaksa beratur seawal pagi dan menunggu sehingga berjam-jam untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan terutama sekali di waktu puncak.
“Bagaimanapun, saya yakin bahawa Kerajaan Negeri sedang meneliti situasi ini dan sudah memikirkan jalan terbaik untuk mengatasinya.
“Apa yang kita mahukan ialah kita berharap kementerian yang terbabit juga turut menumpukan fokus kepada klinik dan hospital di luar bandar khususnya di kawasan pedalaman,” ujarnya lagi.
