Pemantauan Sungai Bawang dan Sungai Mangkaladoi Perlu Disegerakan – Simon Malubi

TUARAN: Pengerusi Kempen Kesedaran Awam Anti Pencemaran Sungai Sabah, Gundohing Simon Malubi menyeru pihak berkuasa agar melakukan pemantauan berterusan secara menyeluruh terhadap Sungai Bawang, Tamparuli dan Sungai Mangkaladoi yang menurutnya menjadi sumber penting kepada penduduk, petani serta aktiviti pertanian komuniti.

Pada masa sama, beliau menyokong penuh tindakan tegas Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, yang memberi amaran keras kepada ladang ternakan di Kampung Kauluan, Tamparuli berhubung isu pencemaran biogas.

“Tindakan tegas ini wajar dijadikan permulaan kepada pemantauan lebih menyeluruh terhadap Sungai Bawang, Tamparuli dan Sungai Mangkaladoi,

“Isu pencemaran sungai bukan isu kecil. Ia melibatkan kesihatan rakyat, keselamatan makanan, pertanian, ekonomi luar bandar dan masa depan sumber air Sabah,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.

Menurut Simon, pencemaran sungai turut menjejaskan usaha Kerajaan mempromosikan program Kebun Dapur kepada rakyat kerana sumber air yang digunakan untuk tanaman makanan mesti bersih dan selamat.

“Kerajaan menggalakkan rakyat bercucuk tanam untuk keselamatan makanan dan penjimatan kos sara hidup, tetapi dalam masa sama sumber air pertanian mesti dilindungi daripada pencemaran,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu pencemaran boleh memberi kesan besar terhadap usaha petani mendapatkan pensijilan seperti MYGAP dan MyOrganic.

“Petani berusaha mematuhi SOP dan standard pertanian berkualiti, namun sumber air sungai berada di luar kawalan mereka. Jika sungai tercemar, ia boleh menjejaskan keyakinan terhadap hasil pertanian serta menyulitkan proses pensijilan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya:

~pemantauan berkala dan ujian makmal air dilaksanakan secara konsisten;

~laporan pemantauan didedahkan secara telus kepada rakyat;

~aktiviti ladang atau premis ternakan yang tidak berlesen ditutup sepenuhnya;

~tindakan undang-undang lebih tegas dikenakan terhadap pelaku pencemaran berulang; dan

~pampasan atau gantirugi disediakan kepada petani yang mengalami kerugian akibat pencemaran sumber air.

“Kita tidak boleh membiarkan pihak tertentu mengaut keuntungan besar tetapi kerugian ditanggung petani dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, amaran Menteri adalah langkah penting dan rakyat berharap tindakan susulan benar-benar dilaksanakan sehingga sungai-sungai di kawasan berkenaan bebas daripada pencemaran.

“Air bersih dan selamat adalah hak rakyat Sabah. Perlindungan sumber air mesti menjadi keutamaan bersama demi kesihatan rakyat, keselamatan makanan dan masa depan pertanian negeri,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles